Awalnya agak keberatan untuk pergi, berasa segan dan malu untuk bertandang ke rumah beliau dan bertemu secara dekat dengannya, namun untuk mendapatkan beberapa nasihat dan ilmu, aku dan sahabatku gagahi jua.
Saat pertama kali melangkah masuk ke rumah Pak Su, kelihatan Pak Su sedang terbaring di atas katil sambil memberikan penerangan kepada mereka yang hadir menziarahi beliau ketika itu, setelah aku dan sahabatku berjalan masuk ke dalam rumahnya , Pak Su menyapa kami dengan soalan.."Tanya orang perempuan belakang tu depa nak dak doa dapat suami soleh?", lebih kurang begitulah pertanyaannya, sudah ku jangka akan diajukan soalan itu kerana pernah diceritakan oleh sahabat daurahku ketika mereka menziarahinya dan Pak Su mengajukan soalan yang sama kepada mereka namun tidakku jangka secepat itu pertanyaan itu diajukan kepada kami.
selepas menyatakan keinginan, Pak Su terus memberikan doa tersebut.
"اللَّهُمَّ إِنِّي أُرِيدُ أَن أَتَزَوَّجَ فَقَدِّر لِي مِن الرِّجَالِ أَحْسَنَهُم خَلْقًا وَخُلُقًا طَاعَةً حَافِظَةً يُوَافِقُنِي وَأُوَافِقُهُ وَيُغنِينِي فِي دِينِي وَدُنيَايَ"
'Ya Allah, Sesungguhnya aku ingin berkahwin, jodohkanlah aku dengan lelaki yg terbaik kejadian, akhlak, taat, menjaga diri, yang menerimaku dan aku pun menerimanya dan yang mencukupkanku pada urusan agama dan dunia.'
Apabila selesai dicatat dan dirakam kami memperkenalkan diri, kemudian Pak Su meneruskan perbincangan beliau bersama orang yang hadir sebelum kami, ada beberapa persoalan dilontarkan dan dibincangkan oleh mereka.
Setelah selesai, ikhwah yang pada mulanya berada di hadapan kami beransur keluar setelah mendapatkan beberapa nasihat dari Pak Su.
Saat inilah yang kami nanti-nantikan untuk mendapatkan nasihat khusus, aku kemudiannya memberanikan diri mendekati Pak Su lalu menyatakan hasrat.
"Paksu kami nak minta nasihat sikit boleh?"
"Nasihat apa? nasihat nak jadi wanita solehah ka?"
Kami tersentak seketika, sepertinya Pak Su tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran kami.
Belum sempat mengiyakan pertanyaannya, Pak Su terus menyambung
"Nak jadi wanita solehah, jangan kahwin dengan orang yang meqatip (berzikir) kat masjid, kawin dengan samseng nuh..duk tendang hampa tiap hari, nie kena jentik pun tak pernah nak jadi solehah macammana.."
Maksudnya..
"Mahu menjadi wanita solehah jangan bernikah dengan lelaki yang rajin beribadah, bernikahlah dengan samseng yang selalu memukul kamu, kalau kamu belum pernah dijentik (diuji) bagaimana kamu dapat menjadi wanita yang solehah.."
Pak Su berkata sambil tersenyum dan ketawa kecil (tanda bergurau) kemudian Pak Su memberikan contoh seorang wanita yang berkahwin dengan seorang lelaki yang terlibat dalam dunia politik, wanita dan suaminya diuji oleh Allah, suaminya dipenjara dan wanita tersebut sering bangun bertahajud pada malam hari berdoa kepada Allah, betapa besar ujian yang ditimpakan kepadanya, itulah dia wanita solehah kata Pak Su.
Dengan serta merta air mengalir dipipiku...
Allahu...
Benar-benar mendalam maksudnya, aku tidak mampu menuturkan apa-apa saat itu, kata-kata yang begitu menyentap jiwa..
Apa yang aku fahami dari kata-kata Pak Su. .
"Nak jadi wanita solehah jangan kahwin dengan orang yang meqatip (berzikir) kat masjid, kawin dengan samseng nuh..duk tendang hampa tiap hari"
Pak Su tidak bermaksud menasihati kami agar berkahwin dengan samseng untuk menjadi wanita yang solehah, sekiranya benar beliau bermaksud demikian tidak mungkin diberikan doa mendapatkan pasangan yang soleh, ia seakan-akan suatu sindiran, sekiranya tidak berusaha menjadi wanita yang solehah, yang sabar dengan ujian ketika belum berumah tangga, maka carilah suami yang akan menjadi sebab kepada ujian untuk membina peribadi yang solehah.
Kerana menjadi wanita yang baik bukan hanya dengan berharap datangnya kebaikan itu melalui orang lain, seperti sesetengah wanita menyangka, dia akan berubah menjadi wanita yang baik apabila berkahwin dengan orang yang baik, meskipun tidak dinafikan ia merupakan syarat yang penting dalam memilih pasangan dan faktor terpenting yang akan membentuk dan mempengaruhi keperibadian seorang isteri, namun ia bukan sebab utama yang menjadikan seorang wanita itu solehah, yang terpenting ialah dirinya sendiri yang melakukan perubahan ke arah kebaikan dan berusaha menjadi lebih baik, jika kita baik maka kita akan mendapat pasangan yang baik, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam firmanNya dalam Surah An-Nur ayat 26.
Seterusnya kata-kata paksu
"Kena jentik tak pernah nak jadi solehah macam mana?"
Seakan-akan Pak Su tahu masalah yang kami sedang hadapi dan sememangnya kebanyakan wanita hadapi, tidak terkecuali juga wanita yang berada dalam medan dakwah.
'Manja yang berlebihan' , ia, ini adalah faktor yang sangat melemahkan seorang wanita, antara kesannya tak bersedia untuk bersusah payah, kekuatan dalaman yang lemah, cepat merungut, cepat berputus asa, mudah mengalah dengan ujian yang datang, tak bersedia untuk berkorban dari sudut masa, tenaga, wang dan sebagainya menyebabkan kesan yang buruk kepada diri mahupun sesebuah institusi. Bagi yang terlibat dengan kerja dakwah, ini antara penyakit yang akan menyebabkan gerak kerja dakwah terbantut dan kelompongan pada gerak kerja yang dilaksanakan. Hasilnya tidak memberikan impak yang besar dan menyebabkan kerja yang dilakukan tidak berkualiti.
Sahabatku..
Kita mengimpikan dan menginginkan sesuatu yang besar di akhir perjalanan ini, justeru segala tindak tanduk dalam kehidupan kita juga mestilah tingkahlaku dan perbuatan yang besar bersesuaian dengan keinginan kita itu.
Setiap perkara memerlukan pengorbanan, justeru itu, berkorbanlah mengenepikan keinginan hawa nafsu kita, demi merealisasikan matlamat Rab yang mencipta, Semoga di akhir perjalanan ini kita meraih kebahagian yang kekal abadi disisiNya... Aminn
Moga Allah berikan kita kekuatan dan kemudahan untuk beramal dengan kebaikan.
-BintuFatimah
*Edited2022