"Renunglah sinar rembulan bila saat rindukan saya.. pasti wajah saya menjenguk hadir.. seindah sinar rembulan, seindah itulah cinta saya pada awak.. walaupun jauh untuk digapai, awak tetap indah dan menawan dalam hati saya.."

Saturday, February 18, 2012

tinta terpanah...



Awak....
Bertahanlah dengan kekuatan awak sendiri sebab awak tak perlukan orang lain untuk membentuk kekuatan baru. Pada saya awak tetap bagaikan bayu. Yang tak akan terkalah dari apa-apa halangan. Yang tak akan goyah dengan ujian. Andai kekecewaan itu datang, anggaplah Tuhan itu sayang. Dan nanti akan diberikan ganjaran yang lebih baik dari sebelumnya. Akan digantikan yang pergi dengan yang lebih... baik lagi.

Janganlah kerana seseorang, seluruh hidup awak mati untuknya.
Janganlah kerna sesuatu, seluruh jiwa awak binasa kerananya.
Awak masih ada orang lain yang perlu awak fikirkan.
Yang penting, awak masih ada DIA yang sentiasa ada untuk membantu... mendengar dan memahami segala situasi yang awak hadapi. Kalaupun sendiri itu sepi, jadikanlah sepi itu irama yang sunyi untuk menenangkan diri dari keributan manusia. Kerana kita adalah manusia yang tersendiri. Yang mampu menciptakan kehebatan untuk berbahagia atau membiarkan situasi menjadi sebaliknya.

Dihari kita menangis...
Apakah kita bisa mengurangkan segala beban yang menanggung? Tidak... ianya cuma merehatkan jiwa untuk merasa lega seketika. Tapi dihari kita menangis dan ada teman yang ingin sama menangisi apa yang kita hadapi, maka syukurilah bahawa awak telah kaya dengan kehadiran mereka. Dan saya.. selalu mengharapkan kebahagiaan itu kepunyaan awak jua disuatu waktu yang telah ditentukan. Asalkan awak percaya.... awak akan nikmati segala nikmat itu apabila tiba masanya.

Adakah saya berkata-kata untuk menyedapkan rasa?
Tidak....

Saya pernah merasa hidup dalam sia-sia. Saya pernah menangisi apa yang terjadi hingga saya harus mengorbankan rasa ini demi kehendak dan kepentingan orang lain tanpa mereka memikirkan segala impian dan kesukaan saya. Saya pernah "mati" hati kerana terlalu mendalami kesedihan, hingga kecewa yang dirasa tak dapat membujuk hati ini untuk kembali semula kepada bahagia. Hari-hari yang saya alami tidak pernah punya sinar untuk tersenyum semula. Hari-hari yang saya miliki hanya ada diri saya sendiri walaupun disisi saya, sekeliling adalah warna ceria. Hakikatnya saya didera dan dipenjara dalam emosi yang sengsara sedang sebenarnya saya bebas dan berkuasa atas jiwa saya. Bebas untuk menikmati bahagia dan tersenyum ceria. Bebas untuk bersuara dan menjadi siapa diri saya. Bebas untuk berfikir tanpa memikirkan rasa orang lain. Bebas dari setiap tindakan dan perilaku hingga harus menjadi manusia yang sering dihantui sesuatu. Juga bebas bernafas atas jalan takdir dan karmaNya. Paling penting, saya bebas membuat keputusan atas tindakan saya. Saya tidak perlukan komen atau pandangan orang lain tentang apa yang saya lakukan. Tidak perlu ada yang cuba mengaturkannya. Sama ada saya salah, saya berdosa atau mungkin saya benar dan berpahala biarlah ketentuannya saya dan DIA. Tak perlu ada sesiapa cuba menguasai saya.

Dan hari ini...
Biarpun saya masih diuji dan didera dengan dugaanNya, saya berjaya pergunakan jalan derita itu untuk diolah menjadi bahagia. Dihari saya harus menangisi semua yang terjadi, dihari yang sama juga saya perbaharui usaha dan nekad untuk melepasi sesuatu masalah itu dengan bijaksana. Biarpun masih berterusan, ia tidak pernah membuatkan saya harus kalah lagi seperti sebelumnya. Tidak ada manusia atau apa jua keadaan yang bisa merampas kekuatan saya untuk menangani hari depan. Tidak ada lagi kebimbangan. Tidak ada lagi awan sengsara yang menenggelamkan jiwa saya untuk dikuasai oleh sesiapa. Tidak ada lagi yang boleh bersuara kerana saya bukan lagi sesiapa.

Ya...
Dalam situasi begini, saya lebih senang jika ada yang membenci dan menjauhi. Malah tidak mendekati itu lebih baik dari merasa sakit hati. Dan mungkin kerana itu juga, saya lebih suka menyakiti agar ada yang membenci dan pergi jauh dari sini atas alasan saya tersendiri. Itu lebih baik dari saya terus dihina dan dicaci mengikut kata nista yang tak pernah memahami.

Awak pernah menelan semua cacian dan tuduhan orang lain?
Awak pernah diberi satu pilihan tanpa punya pilihan yang lain?
Awak pernah tidak dianggap biarpun selalu ada disitu?
Saat saya tidak mengenali apa-apa, rutin saya begitu. Malah menuruti itu adalah kebiasaan juga. Dan mungkin kerna itu jugalah akhirnya saya menjadi tegar untuk menjauh dari kebiasaan ini. Tidak ada gunanya bersama manusia yang tak sedar akan keujudan hati orang lain. Tidak ada gunanya meminta sesuatu sedangkan berbuat sesuatu juga dia tidak mampu. Tidak ada gunanya berkorban tapi dalam pada itu hanya saya saja yang terkorban. Sedang dunianya masih penuh sandiwara. Sedangkan kepura-puraan masih menjadi pakaian. Saya tak pandang lagi lakonan murahan seperti itu lagi. Biarkan mereka berpura menjadi orang baik. Biarkan.. asalkan mereka bahagia dan saya masih bahagia dengan cara saya.

Hari ini....
Disekeliling saya adalah keluarga.
Disekitar saya adalah teman-teman yang mengasihi saya.
Yang masih selalu mahu saya sedar keujudan mereka adalah kerna sentiasa mahu mendengar dan akan memandang saat saya muncul disitu. Mereka mahu saya selalu membangunkan diri dengan senyum dan senda. Yang mana... apabila saya bersuara, mereka mahu saya terus bersuara dan berjuang untuk layari kehidupan ini bukan sekadar bermimpi. Ya... walau terkadang saya adalah saya yang tak akan berubah atas prinsip, tapi saya seorang yang sentiasa menghargai akan waktu bersama. Dan saya percaya, sepertimana awak kenali saya... mereka jugak terlalu mengenali siapa saya lebih dari orang lain yang tidak tahu menilainya.

Apa yang awak mahukan agar sentiasa punya semangat untuk berjuang?
Jika mahu saya selalu memberikan kata-kata terbaik, nah saya sedang melakukannya untuk awak. Malah saya sentiasa melakukannya dalam setiap penulisan saya. Disetiap bait-bait itu ada terbaris kekuatan saya, keinginan saya dan harapan saya untuk menjadi manusia yang lebih baik dari semalam demi anak-anak, suami, ibu bapa saudara mara kedua belah keluarga, teman dan taulan. Dan saya mahu awak selalu menjadikan tauladan untuk awak lalui semua ini dengan tabah hati.

Berulangkali saya menulis... saya tak mahu awak menjadi seperti saya. Berjuang seperti saya... ataupun bertahan seperti saya. Juga jangan cuba bangkit semula seperti saya. Tapi cukup... awak tak akan putus asa setiap kali terluka, kecewa atau perih dengan duga, itu memadai buat saya untuk mengkagumi usaha dan ikhtiar awak menghadapi cobaan duniawi ini. Awak tak perlu mengikuti cara saya dalam menangani masalah duniawi ini. Tak perlu mencontohi kesombongan dan ketegaran saya membenci orang-orang yang cuba menjatuhkan saya.. cukup jika awak masih tahu untuk berjuang. Walaupun... itu cara awak.

Saya tak akan pertikaikan sama ada orang baik atau jahat awak ini. Saya juga tak mahu persoalkan orang alim atau kufur hati awak itu. Yang saya tahu... keikhlasan dan kejujuran sepanjang persahabatan telah membuatkan awak dekat disisi saya. Dan saya percaya, itu jugalah yang membuatkan awak terus dekat... dan dekat.. dekat untuk terus membaca blog ini. Ya, saya cuma menuntut kehidupan jujur untuk kita berada dekat disisiNya. Selebihnya sama ada kita orang baik atau orang jahat, Tuhan lebih tahu. Tuhan yang akan tentukan dimana watak kita kelak.

Awak tahu tak?
Mengapa saya selalu berpesan agar sentiasa tersenyum?
Mengapa saya sentiasa mahu semua orang gembira?
Mengapa saya rasa senang bila ada orang ketawa dan berjaya membuatkan saya ketawa?
Kerana seperti rama-rama didalam dada, sama seperti rama-rama terbang bebas diudara. Ia terbang bersama kecantikan yang indah. Ia terbang bersama dengan semangat yang megah. Ia terbang meninggalkan kelompok hitam yang kelam.

Tidakkah awak tahu...
Apabila saya berjaya membuatkan awak ketawa, hati saya gembira.
Dan awak juga membebaskan sepasang rama-rama dalam dada dari terkurung didunia kelamnya.

Owh! Jangan cuba berbuat ketawa ketika ini.
Kerana kata Sponge Bob; ketawa tanpa sebab musabab adalah petanda kotak ketawanya telah rosak! Ermmm... tapi saya rasa, bukan setakat kotak ketawa, mungkin kotak minda dan kotak rasa juga telah rosak sama. Uhuhu... jadi, jangan cuba ketawa seorang diri secara tiba-tiba - bahaya!

Hari ini saya adalah manusia realistik.
Sekali lagi, realistik! (bukan meterialistik oke)
Saya terima apa juga takdir kini. Dan saya biarkan segala yang lepas menjadi hiasan kenangan. Selebihnya memasang harapan untuk esok, lusa dan masa depan. Percayalah, saya sudah penat melayan kerenah manusia yang bermasalah dan cuba menimbulkan pelbagai masalah kepada saya. Saya... tak faham mengapa perasaan sakit hati itu masih menguasai manusia dari melihat orang lain hidup bahagia. Saya tak faham mengapa masih ada yang dengki melihat kita gembira dengan kegembiraan walaupun seketika. Adakah saya menuntut wang mereka? Adakah saya menuntut masa mereka? Adakah saya menuntut kehidupan mereka. We 're nothing!

Berusahalah... sebab kejayaan awak bukan kepunyaan orang lain kecuali awak juga. Namun... mereka berhak berkongsi kegembiraan untuk sama-sama meraikannya. Kita ada karmakan? Awak memberi, suatu hari nanti awak akan diberi. Awak pernah menerima, suatu waktu nanti orang lain pula menerimanya. Semuanya akan diberi oleh Allah dengan adil dan saksama. Maka.. jangan berhenti berbuat baik kepada sesiapa.

Well...
Jika awak memerlukan saya, awak tahu bagaimana mahu mencari saya. Awak tahu bagaimana mahu bercerita kepada saya dan awak tahu apa yang awak perlu lakukan apabila selalu tewas dalam kehidupan. Walaupun saya tahu awak bukan mahu bercerita tentang masalah tapi saya pasti awak mahu mencari sedikit sinar bahagia untuk keluarkan rama-rama dari dalam dada. Ya, saya sentiasa ada dan akan bersuara saat awak memerlukan suara itu untuk ketawa. Biar.... rama-rama itu terbang bebas diudara. Biar dia terbang dengan indahnya. Biar... dia menyerlahkan warnanya yang megah.

Hurm...
Saya mahu awak menjadi manusia yang bersemangat seperti dulu.
Saya mahu awak merasa ghairah untuk kehidupan walaupun kita sedia maklum bila-bila masa hidup ini akan terhenti buat selamanya. Kita dilahirkan sebagai pejuang saat berjuang untuk melihat dunia. Makanya, sesudah hidup haruslah bersemangat untuk terus hidup. Paling tidak, apabila kita mati.. kita tidak mati kerna putus asa. Tak gitu?

Awak berhak berbuat keputusan atas diri awak. Bukan saya penentunya.
Malah saya selalu membenarkan apa yang ingin awak kecapi dalam hayat awak, selebihnya hanya Tuhan yang menentukan apa jua kemampuan yang bisa awak capai. Jangan terlalu dengar cakap orang untuk menentukan apa yang awak mahu kerana akibatnya nanti cuma awak saja yang lalui. Sedangkan saat itu tidak punya siapa-siapa yang rela menanggung sama.

Semoga berbahagia hendaknya sentiasa
Dan senyumlah selalu agar rama-rama akan keluar berterbangan dari dunia kelamnya.

Terima Kasih,

Wassalam,

Hirne Saris
Sahabatmu

Sedutan Blog ~Rama-Rama Didalam Dada..