Faizul ‘Dealova’
Asnita bersorak keriangan. Betul-betul tak sangka. Faizul masih mengingati dirinya lagi. Kad itu di ulang bacaannya beberapa kali. Uik, dia tahu ke aku mengintai dia di sebalik tirai langsir?.. termalu sendiri dia. Namun hatinya tetap bahagia. Maknanya dia tidak bertepuk sebelah tangan. Yes! Syukur pada Ilahi. Dia segera berlari turun untuk mendapatkan telefon di sudut ruang tamu. Nombor telefon bimbit Faizul yang tercatat pantas didail. Berdebar jantungnya menunggu saat telefon itu diangkat.
Bunyi lagu ‘Pencinta Wanita’ dari telefon bimbit Faizul mematikan perbincangannya dengan Harun dan Bakhtiar. Dia memberi isyarat kepada mereka berdua.
“Weii.. ”
Suara serak-serak basah Faizul mencecah masuk gegendang telinga Asnita.
“Assalamualaikum..”
“Wa’alaikumsalamm.. siapa ni?..” Faizul termalu sendiri. Memang dia dah terbiasa menjawab telefon sebegitu.
“Cubalah teka.. agak-agak siapa ek yang buat panggilan ni..” Asnita berteka-teki.
Faizul sudah senyum melebar. Sudah tahu suara milik Asnita. Sebentar tadi Kamal baru saja menelefonnya memberitahu pemberiannya sudah selamat sampai ke tangan Asnita. Tak sangka pula begitu cepat Asnita menghubunginya.. hmm.. mesti dia dah rindu bangat sama aku nih!.
“Nita apa kabar?..” Sengaja tidak mahu menjawab pertanyaan gadis itu.
“Uik, mana tahu Nita buat panggilan ni?..” Terdengar suara Asnita gelak kecil di talian.
“Saya tahulah.. suara awak tu cam sesangat..”
“Yelah tu..” Terasa bangga di hati Asnita bila Faizul berkata begitu.
“Nita sehat.. orang kat sana bagaimana pula?..”
“Saya kat sini demam… dah seminggu dah.. nasib tak nazak. Tapi sekarang dah kebah..”
“Siannya kat orang tu.. kerja kuat sangat kot?..”
“Taklah.. saya demam rindu kat Nitalah… hahaha..” Ketawa Faizul pecah. Seronok mengenakan Asnita.
Asnita hanya mampu menghela nafas geram. Ada aje modal dia nak mengenakan orang.
“Sebenarnya Nita nih nak ucap terima kasih atas present yang Abang Faizul bagi tu.. terima kasih daun keladi yer.. “
“Kasihmu di terima..” Faizul mengusik lagi.
Bakhtiar dan Harun dah senyum-senyum memandang kearahnya.
“Err.. Nita, nanti saya call Nita semula ya.. sebenarnya saya tengah meeting ni.. tunggu panggilan saya nanti ya.. banyak benda nak nyembang dengan Nita ni..”
“Ok, Nita faham.. maaflah, Nita tak tahu Abang Faizul busy waktu ni.. “ Asnita serba salah.
“Tak kisah.. tunggu panggilan saya ya.. ok, missing you..” Talian mati.
Segera Faizul mencari received calls Asnita kat handphonenya kemudian dia save nombor tadi dalam list phone book.
“Siapa tu?.. mesra alam kemain..” Bakhtiar menyoal ingin tahu.
“Mambang..” Faizul sengih.
“Aik, sejak bila plak ko tersangkut kat mambang nih?.. kata dah kunci mati tak mo bercintun lagi..” Harun jungkit kening. Satu perubahan yang drastik!
“Sedangkan lidah lagi tergigit .. inikan pula cipanzi kat utan..” Faizul gelak besar.
“Apa daa.. kau punya peribahasa.. langsung tak kena.. apa pulak kena mengenanya cipanzi kat utan..” Bakhtiar kerut muka. Merosakkan peribahasa betullah.
“Dahlah.. kita tinggalkan cerita itu.. sambung balik pasal tender tadi…” Faizul cepat-cepat tukar topik perbualan. Mereka berdua ni bukan boleh dilayan sangat..
Telefon yang berdering di sudut ruang tamu dibiarkan Asnita menjerit. Amira yang baru keluar dari dapur terus mengangkatnya. Bingit telinganya mendengar deringan telefon. Kakaknya tu kalau dah tenguk filem Hindustan.. gempa bumi pun tak sedar.. taksub kemain.
“Kak Nita telefon..” Amira menjerit memanggil Asnita yang sedang melayan citer bollywood, kuch kuch hota hai.. di saluran Kirana di astro.
“Siapa?” Asnita masih terpaku di depan televisyen. Kacau daun betul. Citer tengah best nih.
“Entah.. orang laki..” Asnita cepat-cepat bangun dan meluru kearah adiknya.
“Helloo..”
“Hai.. buat apa tadi..” Suara Faizul menerjah keluar dari hujung talian.
“Layan hindu setan kat astro..” Kedengaran suara Faizul gelak besar di cuping telinganya.
“Minat jugak eh Nita dengan hindu setan tu..”
“Tulah orang tengak syok tenguk, kacau daun lak dia.. Orang kat sana tu dah habis meeting ke?” Sengaja menyindir. Amira berpaling. Keningnya berkerut. Asnita menarik wayar telefon jauh sikit dari didengar adiknya. Dari petang tadi dia menunggu panggilan Faizul. Pantang aje telefon berdering.. pantas aje tangannya mengangkat.. last dia hampa.
“Saya kat office nih.. ada kerja sket. Sorry, petang tadi saya terpaksa matikan talian..”
“Nita tak kisahlah.. tengah buat apa tu?..”
“Tengah bercakap dengan Nitalah..” Terdengar gelak Faizul di hujung talian.
“Maksud Nita.. sebelum calling Nita…”
“Sama.. tengah layan hindu setan.. tapi lagu ler.. teringat Nita tu yang saya terus call..”
“Yelah tu..” Tumpuan pada kaca tv hilang terus melayan sembang Faizul.
“Saya aje yang ingat kat Nita.. Nita langsung tak ingat kat saya pun…”
“Bukan tak ingat… tapi tak de masa nak ingat orang kat sana tu.. ingat Irwansyah tu lagi bagus.. dahlah hensem.. cute pulak tu..” Asnita gelak. Sengaja untuk mengusik Faizul.
“Yealah tu… kita ni tak hensem dan glamour macam dia.. siapalah kita kan.. ” Suara Faizul seakan merajuk.
“Aik, merajuk lak dia.. tak baik majuk, nanti muka tu cepat kerepot.. dah tak encem!..” Asnita ketawa mengekek.
“Nita ni suka sangat nak mengusik saya… rotan karang baru tau.. Hmm.. hari ni tadi cuti kemana?..”
“Tak ada kemana pun.. duduk rumah aje.. makan tidur, tenguk tv…”
“Tak takut gemuk ke?..” Faizul ketawa menyindir.
“Kalau Nita gemuk, orang kat sana tu nak tak kawan lagi dengan Nita?..” Asnita sekadar ingin menduga.
“Bagi saya, Nita gemuk ke kurus ke.. saya tak kisah.. janji Asnita ni baik hati…”
“Kalau macam tu Nita nak gemuk lah.. comel macam Adibah Nor..” Asnita ketawa mengekek lagi.
“Bagus gak tu.. senang sikit saya nak jaga.. tak ada siapa nanti nak kacau dan usik Nita dari saya.. saya pun senang hati… hahaha..” Ketawa Faizul pecah berderai. Macam-macam Asnita ni. Ada je modal dia nak kenakan dirinya.
“Iyalah tu.. ni tak de orang marah ke gayut lama-lama ni.. naik bil telefon karang..”
“Siapa yang berani nak marah saya... meh, saya karate aje dia..”
“Cakap boleh ler..buktikan.”
“Kalau nak kena buktikan, Nita mesti kena ada kat sini.. baru boleh buktikan..”
“Tu nak otak kuning ler tu…” Asnita cepat-cepat memintas.
“Otak kuning apanya.. amboi, sekarang dah pandai ye fikir yang bukan-bukan eh.. Ingat saya ni teruk sangat ke?..”
“Aik, terasa lak dia…”
“Terasa tu tidaklah… tapi adalah sikit-sikit…” Suara garau Faizul mula kendur.
“Hari ni kan Nita dah belajar dua perkara tentang Abang Faizul tau…”
“Hah, apa dia..”
“Nak tau ke?..”
“Mestilah nak tahu.. apa dia yang Nita dah belajar dua perkara tentang saya tu?..”
“Pertama… Abang Faizul ni kuat merajuk. Kedua.. Abang Faizul ni cepat sensitive..”
“Eh,.. ya ke? Pandai-pandai ajelah Nita ni… Tapi memang betul pun.. hahaha..” Faizul gelak besar.
“Betul kan?..”
“Erm.. agaknya ler tu…hehe.. tapikan, lagi satu Nita kena tambah..”
“Tambah?.. apa dia?..”
“Kuat cemburu..”
“Mak aii… takutnya..” Asnita pura-pura buat suara.
“Haa… tau pun..”
“Eiii… tak beranilah Nita nak kawan ngan orang yang kuat cemburu ni..takut..”
“Jangan risau.. cemburu saya boleh kontrol lagi.. tak mencederakan Nita pun.. hehe..”
“Iyalah tu.. macam-macamlah Abang Faizul ni..”
“Bukan macam-macam tapi semacam jer..hehehe”
Arghh.. kalau makin di layan Faizul ni makin menjadi-jadi pula dia nanti. Biul kepala dia dibuatnya.
“Abang Faizul habis kerja pukul berapa? Bila nak balik rumah..”
“Kenapa?.. Nak suruh saya balik rumah kita cepat ke?.. dah rindu ngan abang ke?..sabarlah sayang.. kejap lagi abang balik ya..” Faizul sengaja menyakat.
“Hish, kesitu pulak dia… bila masa pula kita duduk serumah?.. bukan begitulah.. mengadalah Abang Faizul ni..”
“Kah kah kah.. tak perasan lak saya.. ingatkan kita dah bernikah..”
Asnita terdiam. Grr… geramnyer…sabar ajelah..
“Asnita.. hellooo…”
Senyap!.
“Nitaa…” Suara menggoda.
“Mmm.. ada…”
“Hai, takkan marah kot.. saya gurau ajelah.. saya minta sorry ok..”
“Siapa marah. Buang karan je…” Dah tak kuasa dia nak melayan lagi. Hatinya geram.
“Tu.. suara dah lain, marah ler tu…”
Asnita diam.
“Aha.. saya dah belajar tiga perkara tentang Nita..”
“Eii.. tak malu tiru kita…” Asnita mencebik.
“Eh.. mestilah… ingat dia sorang aje yang ada..”
“Ha.. apa dia…”
“Betul nak tahu?…”
“Iyalah..” Asnita makin geram.
“First, Nita ni manja… second, Nita ni kuat merajuk… third, Nita ni emosi ler suka pendam perasaan…hahaha..”
“Iyalah tu… pandainya dia..”
“Tapikan dalam tiga tu, satu jer yang saya suka.. yang tang manja tu… tak leh tahan saya... hahaha..” Seronok Faizul dapat mengenakan Asnita balik. Sehari kalau dapat berbual dengan Asnita perut yang lapar pun rasa kenyang sentiasa. Otak jammed pun bleh jadi fresh semula.
“Ah, menyampahlah cakap dengan Abang Faizul ni.. Oklah Nita nak tidur..”
“Haa.. betul tak cakap saya.. Nita ni kuat merajuk..”
“Siapa kata Nita merajuk.. Nita betul-betul nak masuk tidur ni.” Asnita masih tetap tidak mahu mengalah.
“Oklah.. pergilah masuk tidur.. dah nak pukul 12.00 pun.. jangan lupa basuh kaki sebelum nak tidur tu… saya ada kat sebelah tu..”
“Abang Faizul!…”
“Hahaha… ok sayang, selamat malam…Assalamualaikum…klik!..”
Asnita terkedu seketika. Biar betul mamat ni. Sengaja nak menggugat perasaan aku ajelah. Ah, lelaki… Dengan senyum masih lagi bersisa dia berlalu ke bilik air..
Minggu ini Asnita bercuti panjang. Hubungan dia dan Faizul semakin akrab. Ibarat teman tapi mesra. Kesibukan Faizul bekerja membataskan untuk mereka berjumpa. Hanya telefon menjadi tempat berhubung bertanya kabar. Sekarang Faizul berada di Pulau Langkawi menguruskan projeknya di sana. Katanya seminggu dia di sana. Bosan pula dirinya bila cuti panjang begini duduk sorang diri kat rumah tak kemana-mana seperti burung yang terkurung di dalam sangkar.
Amira adiknya tahun ini akan menduduki PMR, sibuk dengan mentelaah buku-buku sekolah dan menghadiri kelas tuition. Alongnya pula masih kat luar negara.. bekerja di sana. Kata Along nak kumpul duit banyak-banyak kat sana, sebelum pulang terus ke tanah air. Hanya kiriman dan balasan email daripada abangnya itu melepaskan rindu mereka sekeluarga. Terbaru email yang dia terima dari Azmi, memberitahu akan pulang terus ke Malaysia. Tarikh dan hari tidak pula dinyatakan. Ibunya sibuk dengan berpersatuan dan kerja amal. Ada aje aktiviti yang dilakukan oleh ibunya untuk kaum wanita khasnya. Sibuk memanjang. Ayahnya pula lagilah sibuk sejak dah cebur diri dalam politik lepas bersara dalam tentera selalu sangat tak lekat kat rumah. Asyik keluar berkempen jer.. Jangan ayahnya itu kempen lain sudah!.
Asnita duduk melamun di birai katil. Majalah Intrend diambilnya. Di selaknya satu persatu helaian majalah itu. Bosan. Sudahnya majalah itu terbiar di atas katil. Dia melangkah keluar menuruni anak tangga, dan duduk melepak ke ruang tamu. Tangannya mencapai remote control tv. Sedang ralat matanya menyaksikan telenovela di kaca tv, kedengaran orang memberi salam di luar pagar. Dia menjengah di sebalik langsir tingkap. Mak Long Zainab kakak sulong ibunya berdiri tegak bersama suaminya. Dengan pantas dia berlari keluar.
“Wa’alaikumsalam.. masuklah Mak Long.. Pak Long..” Asnita mengunjuk salam kedua-dua orang tua itu. Kemudian menolong mengangkat beg yang dipegang oleh Mak Longnya.
“Atenye senyap aje rumah kome ni?.” Mak Long Zainab melabuh punggungnya di atas sofa.
“Mak dan ayah pergi pasar borong.. kejap lagi balik la kot.. Mira plak tuision ler Mak Long.. laa, Pak Long ngape duduk atas lantai tu.. meh ler duduk sini..”
“Tak ngape ler Nita.. Pak Long nak ambil angin kat sini.. sejuk sket.. hangat nih..” Pak Long Dahlan mengipas-ngipas mukanya yang dibanjiri peluh. Cuaca hari ini terasa terik membahang. Air cond yang terpasang dalam kereta masih tak mampu menghilangkan kepanasannya. Bila duduk kat sini terasa angin bertiup segar.
Kelihatan kereta Mercedes Benz memakir tepat di depan pintu pagar.
“Haa.. tu pun mak dan ayah..”
Mahat dan Salmah sudah keluar dari perut kereta.
“Bila Kak Long dan Abang Long sampai?..” Salmah menghulur salam di sertai suaminya Mahat.
“Baru benar haa.. belum pijau punggung aku ni lagi..” Mak Long Zainab membetulkan duduknya.
“Asnita angkat barang-barang ni ke dapur. Buat air sekali. Kuih yang mak beli tu potong, jamu Mak Long dan Pak Long kau ni haa..” Ibunya memberi arahan tanpa dia membantah.
Beberapa minit berlalu, air dan kuih lapis sudah siap terjamu di atas meja. Mee goreng panas yang baru di gorengnya tadi turut dihidangkan sekali. Setelah menjamu mereka makan, Asnita mengambil tempat duduk disebelah Mak Longnya.
“Ngape Ati tak ikut sekali Mak Long?..”
“Ate dianye ade klinik Bahasa Inggeris malam ni .. kalau ngekor kami idak ler ke kelas.. kamu bukan tak tau Pak Long kamu tu bawak keta macam semut..” Sempat memerli suaminya yang sedang meneguk air minuman.
“Nita, macam semut pun sampe jugak ler Mak Long kamu tu kemana-mana.. kalau idak terperuk ajelah kat ghumah tu..” Pak Long membalas balik. Mak Long menjeling bila diperli begitu.
“Ashraf apa cerita sekarang Kak Long?... minggu lepas ada dia telefon Mah tanya kabar.. katanya dah naik pangkat.. lama benar dia tak jengah kemari.. “
Asnita memasang telinga. Abang Ashraf call rumah?. Uik, nape dia tak tahu pula tentang itu. Selalunya kalau ada pesanan atau apa-apa berkaitan dengan Ashraf ibunya pasti bercerita. Semenjak Ashraf bekerja dan menetap di Terengganu, jarang-jarang dia dapat berita tentang abang sepupunya itu. Email pun dah tak ada untuknya. Kalau dulu sebulan sekali pasti email Ashraf memenuhi inboxnya. Dia pun juga sudah lama tidak menghubungi Ashraf kerana terlalu sibuk dengan menghadiri kuliah dan mengulangkaji pelajaran membuatkan dia tak rajin login kat internet.
“Gitu ler dia kabo kat aku.. kamu bukan tak tahu, sejak kojer Kemaman tu jarang benor dia balik kampung.. sibuk katanye.. idak pulak dia kabo apa-apa lagi kat aku..”
“Biasalah tu Kak Long.. orang muda.. entah-entah dah tersangkut dengan orang sana kot.. tu yang liat nak balik..” Mahat yang dari tadi diam, mencelah mengusik.
“Gamaknye gitu ler gayenya.. si Mie pula apa kisahnye.. atenye bila nak balik ?.. lama bebenor dia duduk kat negeri orang putih tu...”
“Lebih kurang same ler deme tu Kak Long.. dah duduk sana langsung tak mau balik.. dah kerja pulak kat sana.. nak cari pengalaman katanya.. baru-baru nih ada hantar email kat bebudak ni ha.. kata nak balik terus.. tak tau bila.. tak pula dia kabo..”
“Ha.. dah kenan dengan minah saleh ler tu..” Giliran Pak Long pula mencelah. Gelak ketawa mereka pecah berderai.
Begitulah keluarga Asnita dan Mak Longnya. Hubungan diantara mereka sememangnya amat rapat semenjak dia kecil lagi. Mak Long dan ibunya hanya dua beradik sahaja. Kedua orang tua mereka sudah lama meninggal dunia selepas Mak Longnya mendirikan rumah tangga dengan Pak Long. Ibunya pula pada masa itu masih di bangku sekolah. Hanya pada Mak Long tempat ibunya mengadu nasib dan tempat bermanja. Jodoh ibunya, Pak Long yang carikan. Itulah Mahat ayahnya, adik angkat Pak Long Dahlan sewaktu bertugas didalam tentera sebelum ayahnya itu bersara. Setiap kali kalau ada masa terluang atau cuti pelepasan am pasti keluarganya atau keluar Mak Long bersilih ganti datang berziarah bertanya kabar untuk menguatkan lagi ikatan kekeluargaan agar tidak hambar.
Asnita duduk bersimpuh diatas beranda rumah Mak Longnya menghadap halaman rumah, menyaksikan kemeriahan kanak-kanak bermain teng-teng dan lempar selipar. Permainan kampung yang cukup popular disini. Dia kesini mengikut sekali Mak Long dan Pak Longnya pulang ke kampung. Terlanjur cutinya masih banyak lagi, apa salahnya dia duduk sehari dua dirumah Mak Longnya sehingga cutinya habis. Sekurangnya hilang kebosanannya duduk dirumah.
Matanya ralat memerhati anak-anak kecil bermain lempar selipar. Teringat masa kecil selalu sangat dia bergaduh dengan Azmi bila kalah bermain. Alongnya itu suka sangat marah-marah dirinya bila kumpulan mereka kalah. Ashraflah yang selalu menjadi pendamai antara mereka. Lagilah bengkak hati alongnya itu bila Ashraf asyik membelanya. Tersenyum sendiri dia mengenangkan peristiwa lepas.
“Ehem.. menung jauh nampak?.. ingat buah hati ke?..”
Suara lembut milik Ashraf menyapa gegendang telinganya. Malam semalam bila tiba di sini, terkejut dia melihat Ashraf duduk bersandar di beranda rumah. Mak Long dan Pak Long juga turut sama terkejut dengan kepulangan anaknya itu. Entah mimpi apa Ashraf pulang langsung tak beritahu nak balik, selalu sangat buat surprise!. Alasannya kerana dah lama tak menjenguk mak dan ayahnya..
“Tak adalah.. seronok tenguk budak-budak tu bermain..” Asnita memberi ruang kepada Ashraf duduk di sebelahnya.
“Teringin nak punya anak sendiri ke?.. abang boleh tolong..”
Ashraf senyum mengusik. Terkandung makna tersirat. Sewaktu dia sampai semalam, dia lihat pintu dan tingkap rumah terkunci rapat. Siap bermangga lagi. Dia lihat kat atas meja ada mesej yang ditinggalkan adiknya Atiqah untuk ibu dan ayahnya, mengatakan dia pulang lewat selepas kelas. Nasib baik dia ada menyimpan kunci spare yang lain. Terkejut juga dia melihat mak dan ayahnya membawa pulang Asnita. Sebenarnya dia saja nak buat kejutan pada keluarganya dikampung, rupanya dia yang terkena kejutan. Selain itu dia ada hajat lain. Namun takdir Allah siapa yang tahu. Asnita kemari seperti sudah di atur saja oleh kuasa Ilahi.
“Hish, merepek aje abang ni.. tak adalah sampai ke situ.. apalah abang ni..” Pantas tangannya mencubit peha Ashraf. Selalu sangat menyakat dirinya.
“Nita ni ketam batu apa.. asyik nak mengetip aje.. lama-lama lebam peha abang ni tau..”
“Padan muka.. siapa suruh otak kuning…”
“Mana ada abang otak kuning.. Nita yang otak kuning kata abang pula..”
Asnita menjeling. Geramnyaa.. ada saja modal dia. Suasana sepi sekejap.
“Nita..”
Asnita menoleh memandang Ashraf.
“Nita dah ada steady boyfriend?..”
“Kenapa Abang Ashraf tanya begitu?..” Hairan dia dengan pertanyaan Ashraf.
“Saja.. dah lama kita tak menyembang.. hanya pertanyaan itu yang ada dalam fikiran abang sekarang ini..” Dia sekadar ingin menduga hati Asnita.
“Siapalah yang nak kat Nita ni.. dahlah tak lawa.. rupa pun buruk…”
“Hish.. tak baik cakap macam tu.. siapa kata Nita tak lawa, meh sini abang belasah orang itu.. pandai aje kata comel abang ni tak lawa..”
“Elehh.. ye lah tuu. Sekali dia yang tumbang.. ada hati nak belasah orang.. “Asnita ketawa mengekek. Ashraf tersenyum cuma.
“Abang pula dah ada steady girlfriend?..” Giliran Asnita pula untuk bertanya.
“Ada.. banyak..” Ashraf sengih tayang gigi.
Mata Asnita membulat. Boleh tahan juga abang sepupunya ini. Iyalah rupa ada.. kerja pun bagus. Perempuan mana yang tak mudah tersangkut. Tak payah susah-susah dia mencari.
“Tapi.. cuma sorang je yang bertakhta dalam hati abang..” Matanya menjeling manja kearah Asnita. Jantung Asnita berdegub mendengarnya.
“Siapa?.. awek pantai timur ekk?..” Dia cuba serkap jarang.
“Taklah.. Gadis Misteri.. Puteri Kayangan..”Ashraf mengenyit mata.
Sekali lagi cubitan Asnita hinggap dipeha Ashraf. Terasa dirinya ditipu.
“Lagi-lagi gadis misteri.. puteri kayangan.. saje jer nak main-mainkan orang.. dahlah malas Nita nak layan abang.. duduklah sorang-sorang kat sini.. buang karen jer sembang dengan abang. Nita nak naik..” Asnita pura-pura merajuk.
“Asnita, nantilah dulu.. abang belum habis cakap lagi..” Ashraf melaung.
Asnita langsung tidak menghiraukan panggilan abang sepupunya itu. Sebenarnya dia tak sanggup nak mendengar Ashraf bercerita. Takut nanti dirinya tidak mampu mengawal keadaan. Cukuplah kisah dahulu menjadi pengajaran. Dia tersenyum sendiri.
Ashraf menghirup kuah lemak cili api ikan merah dengan lahapnya. Asnita hanya menjeling dengan ekor mata. Gelojoh betul!. Macam setahun tak makan. Atiqah dan Mak Longnya sudah senyum-senyum memandang. Pak Long pula makan tanpa reaksi. Serius saja menghadap makanan.
“Perghh.. sedap masakan mak hari ni. Lain daripada biasa.. masuk ni dah tiga kali Ash tambah..” Ashraf memuji. Yummie.. menyelerakan betul!
“Bukan maklah Ashraf.. Nita ni yang buat tu.. mak cuma tolong jengah jer..” Ucap Mak Long Zainab gelihati. Asnita sudah tertunduk malu.
“Patutlah sedap.. memang berbeza sungguh gulai lemak cili api hari ini.. tip top.. macam tak percaya jer cik Asnita kita ni pandai masak. Macam ni dah boleh ler masuk minang.. Jadi tukang masak rumah kita pun ok..” Ashraf kenyit mata pada Asnita yang sudah berubah wajah. Malu ler tu..
“Amboi, kemain lagi kamu..” Mak Long geleng kepala. Faham benar dengan gelagat anaknya itu yang gemar menyakat Asnita.
“Apelah abang ni.. depan rezeki mana boleh bercakap.. kan ayah?..” Atiqah menyampuk. Pak Long Dahlan sekadar berdehem.
“Eleh.. Ati tu jeles sebab dia tak reti masak.. goreng telur pun rentung..” Ashraf mencebik adiknya.
“Ada pulak, tak kuasa orang..”
Asnita sekadar senyum memerhati. Teringat gelagat dia, Amira dan Azmi dimeja makan. Selalu di tegur ayahnya bila bercakar waktu makan. Ayahnya cukup pantang bila didepan rezeki bergaduh atau bercakap benda yang tak penting. Lepas makan, lantaklah siapa yang nak bertekak ke dan sebagainya.
“Abang tak nak rasa sambal belacan tu?.. itu pun Kak Nita yang buat..”
Pantas tangan Asnita mencubit perlahan pinggang Atiqah. Atiqah menggeliat kemudian tersengih.
“Ye ke?.. meh abang rasa.. “ Sambal belacan di colek dengan hujung jari.
“Perghhh… meletop!.. cukup rasa masin, masam dan pedasnya..” Ashraf ikhlas memuji. Keningnya sudah terangkat-angkat memandang Asnita.
“Kamu ni kalau si Asnita nih yang buat semuanya sedap.. dah tu selama nih mak kamu ni masak tak sedap ler ye..” Mak Long sengaja mengusik.
Sebenarnya memang dia akui kepandaian Asnita menyediakan masakan kampung. Air tangan Asnita memang ada power. Itu sebab dia meminta Asnita menyediakan makan tengahari. Bukan mendera, cuma hendak berubah selera.
“Sedap juga mak, cuma berbeza jer..” Ashraf menyengih.
Asnita senyap tanpa respon. Tak tahu nak menjawab apa. Malu dirinya dipuji dihadapan orang. Lebih-lebih didepan Mak Long dan Pak Longnya.
Usai makan, Asnita menolong Atiqah mengemas pinggan mangkuk yang kotor. Mak Long dan Pak Long sudah berlalu ke ruang tamu. Ashraf pula tercegat diatas tangga simen memerhati Asnita mencuci pinggan mangkuk di sinki. Atiqah yang perasan gelagat abangnya itu pura-pura batuk kecil menjeling abangnya. Ashraf buat-buat tidak mengerti isyarat Atiqah. Asnita pula langsung tidak menyedari apa yang berlaku di belakangnya kerana ralat mencuci.
“Abang, petang ni kita gi ronda-ronda nak tak?..”
Asnita menoleh sekilas kearah Atiqah.
“Kamu tu tak habis nak merayap jer keja nyer.. cubalah duduk diam kat rumah.. buku tu baca, SPM dah nak dekat..”
Ashraf mula berleter. Hujung jarinya memicit kepalanya yang sedikit berdenyut.
“Alah.. orang tahu ler.. lambat lagi nak exam. Orang ajak abang bukan apa, sian nenguk Kak Nita.. sejak sampai sini asyik terperuk kat dapur jer.. apalah abang ni, bawaklah Kak Nita tu jalan-jalan makan angin.. “
Atiqah cuba meminta simpati kakak sepupunya. Dalam kepalanya ada agenda yang tersendiri. Asnita sekadar tersenyum mendengar.
“Kak Nita kamu tu tak cakap apa-apa pun.. yang kamu tu sibuk kenapa?..”
Ashraf pandang Asnita yang sudah selesai mencuci. Asnita pula pandang wajah Atiqah yang masih memancing simpati.
“Boleh juga.. lagipun dah lama sangat Nita tak ronda-ronda kampung.. nanti boleh singgah rumah Opah Wan.. pastu singgah kat sungai tu.. alah, tempat abang dengan Along Mie kena rembat tu..” Asnita kenyit mata.
Ashraf membulat matanya bila Asnita mengungkit kisah lama. Kemudian berfikir sejenak. Ada benar juga. Inilah peluang dia hendak keluar bersama dengan Asnita. Esok lusa belum tahu lagi. Entah dapat, entah tidak. Atiqah pula sudah senyum berbunga. Umpan yang dipasang sudah mengena.
“Oklah.. dah korang pergi siap.. jangan lambat-lambat. Malam ni abang ada hal. Kalau lambat abang cansel!” Sengaja menggugut mereka berdua. Faham benar orang perempuan ni, kalau bersiap mengalahkan nak bertanding ratu cantik. “Hah, jangan lupa solat zuhur dulu..” Sempat dia mengingatkan kedua mereka.
“Yalah cik abang.. awak tu dah solat belum?..” Hujung jari telunjuk Asnita mencuit bahu Ashraf. Sempat menyindir Ashraf yang sedang menanggalkan cermin matanya. Ashraf membesarkan matanya. Kemudian mengukir senyuman.
Atiqah pula sudah ketawa mengekek. Kadang gelihati juga dia melihat telatah Ashraf dan Asnita. Serasi bersama. Macam cincin dengan permata. Dia tahu rahsia abangnya. Walau abangnya tak suarakan padanya. Bukti itu jelas dilihatnya. Biarlah abangnya sendiri berterus terang. Rahsia itu masih Atiqah pendam sehingga kini.
Semalam bagai nak tercabut urat kaki Asnita berjalan. Bukan setakat sungai yang menjadi kenangan zaman kecil dan rumah Opah Wan dibawa Ashraf. Habis serata tempat mereka dibawa jelajah. Siap makan Sea Food lagi kat Lumut. Paling dia tak sangka boleh pula terserempak dengan Milah teman sekuliah. Apalagi kecohlah dibuatnya. Siap tak ada insuran mulut Milah mengatakan Ashraf kekasih dan bakal tunangnya. Ashraf pula sengaja mengiakan dan Atiqah sudah tersenyum memandang. Tangannya terhenti mengait. Paling tak boleh lupa kata-kata Atiqah yang dia dan Ashraf sepadan kalau di jodohkan bersama, sewaktu Ashraf berhenti dibahu jalan membeli barang yang di pesan Mak Long. Opah Wan juga berbisik begitu ke telinganya. Siap bagi petua rumah tangga lagi. Hendak tergelak pun ada terkenangkan peristiwa semalam. Apalah mereka tu..
“Hai.. senyum sorang pula dia ni.. pantang senyap. Kalau tak termenung, mesti berangan.. dah tu senyum sorang-sorang.. seram abang tenguk Nita ni..” Teguran Ashraf mengejutkan Asnita.
“Abang ni.. terperanjat Nita.. cubalah bagi salam dulu. Nasib Nita tak de lemah jantung.. kalau dak dah tergolek duk dah!..” Asnita menyambung semula kerja mengait. Bosan-bosan tak ada apa nak buat, teringat semalam ada membeli benang bulu kambing dan jarum kait. Bila mengait, sekurang-kurangnya hilang bosan yang melanda.
“Apa yang Nita kait tu?..” Ekor mata Ashraf merenung jari jemari Asnita yang ligat menyimpul benang.
“Entah.. belum terfikir lagi.. dah siap nanti baru tau..” Asnita berteka-teki. Ashraf di perhatinya. Lengkap berpakaian kebun. Malam tadi ada Ashraf memberitahunya nak ke dusun durian. Agaknya mungkin dia ke sana.
“Mesti dalam kepala Nita dah imaginekan?.. tipulah..”
“Tak percaya sudah.. Abang Ashraf nak cuba?”
“Hish, tak mahulah.. tak reti abang. Itu kerja orang pompuan. Nita sudahkan ajelah kerja Nita tu. Abang nak ke baruh ni.. Nita nak ikut abang tak?”
“Boleh juga.. naik apa?..” Seronok juga, dah lama dia tak melihat dusun milik keluarga Ashraf dan keluarganya kat Parit Teratai. Ibunya menaruh sepenuh kepercayaan kepada Mak Long untuk menjaga dusun itu. Lagipun dusun itu hanya sekangkang kera. Kata ibunya tak berbaloi kalau di racik. Biarlah dusun itu menjadi dusun turun temurun keluarga untuk anak cucu mereka.
“Naik motor kapcai tu.. ada berani?..” Muncung Ashraf panjang menunjuk motor Pak Long dibawah pohon mangga.
“Tenguk orang ler..” Asnita menjeling.
“Ok, abang nak asah parang kat tanah. Nanti abang panggil Nita.” Ashraf berlalu menuruni tangga. Kemudian hilang dibelakang rumah.
Ashraf duduk berlunjur diatas pelantar dibawah pohon mangga, ditemani Asnita dan Atiqah. Angin petang yang bertiup sepoi-sepoi bahasa amat mendamaikan hatinya. Sesekali hatinya tercuit melihat telatah Asnita dan Atiqah yang sedang asyik menikmati durian. Terhibur hatinya melihat keadaan Asnita yang macam baru pertama kali berjumpa buah durian. Tadi masa di dusun, mulutnya sahaja yang heboh. Takutlah, ada rimau ler.. macam-macam.. pantang ditinggalkan sekejab, mulalah terjerit-jerit memanggil namanya. Dari dulu sampai sekarang, sikap penakut Asnita tak pernah surut.
Ashraf menanggalkan cermin matanya. Dia memicit-micit kepalanya. Tiba-tiba pula terasa pandangannya berpinar-pinar. Kepalanya pula sudah berdenyut kuat sakitnya. Entah kenapa semenjak dua tiga menjak ini kepalanya selalu sangat pening-pening. Pandangannya juga sering kabur bila sakit itu mula menyerang.
“Abang.. kenapa?..” Asnita menegur. Dari tadi dia perasan perubahan Ashraf. Sudah banyak kali dia melihat Ashraf berkeadaan begitu semenjak sampai ke sini.
“Abang sakit ke?..” Risau hatinya melihat Ashraf yang sudah bertukar wajah. Berkerut-kerut kening Ashraf dia lihat, seakan menahan sakit yang amat sangat. Segera dia menghampiri Ashraf. Atiqah juga ikut bangun. Mereka berdua berpandangan sesama sendiri.
“Abang janganlah macam ni..” Atiqah juga turut berasa risau melihat abangnya itu. Bahu abangnya digongcang perlahan.
Ashraf tetap membisu, tubuhnya kaku dan matanya sudah terpejam rapat. Asnita dan Atiqah mula panik. Atiqah ingin menjerit memanggil ibunya yang berada di dapur.
“Tara.. “ Ashraf membuka matanya dan bingkas bangun.
“Saja jer buat lawak.. nak tenguk korang berdua sayang tak kat abang!.” Ashraf ketawa gelihati.
“Abang ni suka sangat main-main tau..” Seperti biasa jari ketam Asnita mengenai peha Ashraf. Ashraf mengaduh sakit.
“Entahnya abang ni.. buat kita orang suspend jer..” Giliran Atiqah pula menampar bahu abangnya. Berderau juga jantungnya tadi melihat reaksi abangnya sebentar tadi. Ingatkan betul-betul. Rupanya bergurau. Tapi, Asnita masih tidak berpuas hati. Dia tahu Ashraf berbohong padanya. Matanya merenung tajam Ashraf.
“Kak Nita, Ati masuk dulu.. tak usah dilayan sangat abang tu.. buat sakit hati jer..” Atiqah angkat punggung berlalu ke belakang ikut pintu dapur masuk rumah.
“Abang?..” Asnita masih menanti jawapan dari mulut Ashraf.
Ashraf sekadar mengukir senyuman.
“Betul.. abang tak ada apa-apa.. jangan risaulah. Hmm.. sayang juga Nita kat abang ya..” Sempat dia mengenyit mata pada Asnita.
“Nita langsung tak percaya.. dengan Ati abang boleh bohong. Tidak dengan Nita..” Matanya masih merenung tajam wajah Ashraf.
“Janganlah pandang abang macam tu.. seram abang tenguk. Ok.. memang abang pening sekejab tadi.. tapi sekarang dah ok..” Dia cuba mengukir senyuman. Ashraf tahu Asnita tidak boleh ditipu. Apa yang dia rasa, pasti akan di rasai oleh Asnita. Dia juga tak mampu untuk membohongi Asnita.
“Abang tak pergi berubat?.. jumpa doktor.. selalu sangat Nita tenguk abang macam tu tadi.. risaulah Nita..”
“Pening biasa aje Nita.. jangan risau..” Ashraf terharu atas keperihatinan Asnita.
“Bila Nita nak balik Kajang?...” Sengaja dia tukar topik perbualan. Tidak mahu hal itu dibangkitkan lagi.
Asnita menjeling Ashraf lagi. Dah tahu sangat sikap Ashraf.
“Cadangnya esok..” Tetap juga dijawabnya pertanyaan Ashraf.
“Laa.. cepatnya..”
“Barang banyak tak prepare lagi.. lapan hari bulan dah mula kuliah. Tadi call rumah, Mira kata Along dah balik semalam..”
“Abang tahu.. semalam along call abang. Dia tanya tentang Nita. Masa tu Nita ikut Mak Long gi kelas fardhu ain kat surau..”
“Abang tak beritahu Nita pun..”
“Terlupa.. ni nak beritahulah ni..” Ashraf sengih. Memang benar dia betul-betul terlupa.
“Nita balik lusa ek.. boleh abang turun sekali jenguk Mak Su. Abang pun dah lama tak jumpa Along Mie dan Amira. Agaknya si Mira tu dah makin montel kot.. macam mana?. Durian pun banyak tu. Boleh bawa sekali. Sekurangnya terubat rindu abang kat mereka sebelum Abang balik Kemaman. Cuti abang pun dah habis.” Asnita berfikir sejenak. Bagus juga. Tak payah susah-susah dia naik bas. Selamat duit poket dia..
Ashraf memperkuatkan lagu “Pencinta Wanita” yang ke udara di radio Era.fm. Asnita tersenyum memerhati. Lagu itu juga merupakan lagu kesukaannya. Rancak bibir Ashraf mengajuk lagu yang sedang berputar. Siap buat gaya lagi. Sesekali Asnita di sebelah, di jeling manja. Asnita hanya mampu menggeleng kepala. Bila tiba angin menyakat Ashraf, dia sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Layankan ajelah.
Ashraf memberhentikan Perdana hitamnya di Hentian Ulu Bernam untuk membuang hajat dan berehat sebentar. Asnita yang sudah terlelap di geraknya perlahan. Asnita tersedar.
“Jom, makan..” Ashraf sudah mematikan enjin kereta.
“Kat mana kita ni?” Asnita menguap perlahan. Sisa mengantuk masih terasa lagi.
“Ulu Bernam.. jom..” Ashraf sudah keluar. Dia membetulkan bajunya yang sedikit berkedut.
“Abang pergi ajelah.. malas pula Nita nak keluar. Perut kenyang lagi ni. Belikan Nita air 100 plus dan kudap-kudap ye..” Asnita sengih. Ashraf geleng kepala. Kunci kereta di hulur pada Asnita.
“Ok.. kalau panas, hidupkan enjin, pasang air cond tu.. buka tingkat sikit.. karang tak pasal Nita pengsan lak dalam tu..” Wajah Ashraf serius memberi arahan. Kemudian berlalu ke tandas awam.
Asnita memasang radio. Bosan mendengar juru hebah radio berceloteh, dia mencari kaset lagu milik Ashraf. Boleh tahan jiwang gak abang sepupunya ini. Kaset lagu campur di tariknya. Kemudian dia mainkannya. Lagu Kau Ilham Ku nyanyian Man Bai berkumandang ke udara. Lagu ini merupakan lagu kesukaan Ashraf. Lagu ini sering Ashraf nyanyikan untuknya sambil memetik gitar. Ingatannya terimbas semasa umurnya mencecah dua belas tahun..
“Lagu ini abang tujukan khas buat Nita.. bila dengar lagu ni, ingat abang tau.. bayangkan ajelah abang kekasih Nita.. seperti yang Nita idamkan tu...”
Asnita tersenyum sendiri mengingati kisah itu. Matanya menjengah kelibat Ashraf yang belum kelihatan. Dia melihat jam di dashboard. Jarum jam menunjukkan pukul 5:05 Mungkin agaknya Ashraf bersolat.Tiba-tiba matanya terpandang sepasang suami isteri dengan anaknya keluar dari taman permainan kanak-kanak berjalan menghampiri kereta Gen-2 warna kelabu yang selang dua kereta bersebelahan dengannya. Wajah lelaki itu begitu amat dia kenali. Faizul?
Hatinya rasa tak sedap. Dia keluar dari kereta dan cuba untuk memastikan. Memang sah Faizul!. Dia terus memerhati sehinggalah kereta yang di pandu Faizul lalu betul-betul dihadapannya. Wajah itu selamba memandang kearahnya. Hati Asnita membengkak. Benci, geram dan sebak bercampur baur. Sampainya hati mu.. hatinya merintih pedih.
“Nita.. kenapa ni?” Terasa bahunya di sentuh dari belakang. Cepat-cepat air mata yang hampir menitis jatuh, di kesat dengan jari telunjuknya.
“Tak ada apa-apa..” Asnita berpaling dan ukir senyuman. Beg plastik di tangan Ashraf di tarik perlahan.
Berkerut pandangan Ashraf melihat wajah sendu Asnita. Matanya liar memerhati kawasan sekeliling. Tiada apa-apa yang mencurigakan. Asnita yang sudah berada dalam perut kereta, di jeling sekilas. Sebelum menurunkan handbreak dan memasukkan gear, Asnita di jeling lagi dengan ekor mata. Asnita melarikan pandangannya. Sah! Mesti ada sesuatu ni…
“Asnita.. ada masalah beritahu abang..” Ashraf seakan tidak berpuas hati selagi tidak mendapat jawapan sebenar. Dia tahu, Asnita menyembunyikan sesuatu daripadanya. Dia pasti.
Asnita geleng kepala. Air tin 100 plus di teguk laju tanpa sempat meletak straw. Fikirannya rungsing dan keliru buat masa ini. Dia tahu Ashraf resah melihat perlakuannya. Tetapi, tahukah Ashraf hatinya juga resah selepas melihat sandiwara yang baru sahaja di pertonton kepadanya.
“Ok, abang tak mahu mendesak.. tenangkan hati Nita dulu.. bila dah lega, cerita dengan abang..”
Ashraf mengaku kalah. Dia tidak mahu terlampau mendesak Asnita menceritakan hal yang sebenar. Perjalanan mereka masih jauh lagi. Buatnya Asnita mengamuk tengah jalan, parah pula dia nanti. Angin perempuan ni bukan boleh diramal. Hendak-hendak tu bila bulan mengambang penuh. Terbayang Atiqah adiknya, selalu marah dan masam mencuka. Pernah satu masa, Atiqah membaling senduk padanya bila di usik ketika adiknya datang penyakit itu. Baran tak bertempat. Kadang dia sendiri pun tak faham!
Azmi menghampiri Asnita yang duduk termenung didalam bilik. Petang tadi sewaktu sampai bersama Ashraf, kelihatan gembira dia perhatikan adiknya. Tapi selepas naik ke bilik, langsung tak turun-turun. Pelik?. Selalunya Asnitalah yang paling riuh, bercerita dan bertanya itu ini.
“Nita.. kenapa ni? Sejak Nita naik maghrib tadi, langsung tak turun. Kesian Abang Ashraf sorang-sorang kat bawah tu. Tak baik tau buat tetamu macam tu.. cakap terus terang dengan along kenapa Nita matikan diri dalam bilik..”
Asnita hanya geleng kepala. Kepalanya kusut berserabut.
“Nita tak suka along balik?” Azmi cuba menduga.
Asnita geleng kepala lagi. Sampai ke situ alongnya memikir.
“Habis tu kenapa senyap jer.. Abang Ashraf beritahu along, sejak beredar daripada Hentian Ulu Bernam Nita sudah diam membisu.. betul?.” Azmi inginkan kepastian. Walau dia tahu Ashraf tidak pernah berbohong.
Asnita tunduk kepala terasa macam orang bersalah. Kolam matanya hampir hendak pecah keluar.
“Asnita.. jangan macam ni dik.. ada masalah beritahu along.. Abang Ashraf tu risau tenguk keadaan Nita macam ni. Nita tak rasa bersalah ke?” Suara Azmi memujuk lagi. Entah angin apalah yang merasuk Asnita sehingga berkeadaan begitu.
Asnita tetap juga diam. Kejadian petang tadi berlegar-legar di skrin otaknya. Hatinya sakit!
“Nita, walau apa pun yang bersarang dalam hati Nita.. along harap Nita boleh kawal sepenuhnya. Mak dan ayah dah keluar. Mereka suruh kami tenguk-tengukkan Nita.. Ingat, Abang Ashraf tu nak berangkat sebelum subuh esok. Jangan biarkan perasaan dia pulang dengan serba salah..” Nada intonasi Azmi sedikit keras. Dia sudah hilang sabar. Air mata Asnita tumpah.
“Mie.. tak apalah.. biarlah jiwanya tenang dulu..”
Ashraf sudah berdiri muka pintu bilik Asnita. Pilu hatinya melihat keadaan Asnita. Terasa bersalah pula dia meninggalkan Asnita sorang diri tadi di hentian rehat itu.
“Asnita.. abang minta maaf kalau abang bersalah pada Nita.. esok pagi abang dah nak berangkat.. abang takut tak dapat jumpa Nita besok.. maafkan abang ya..”
Lembut suara Ashraf menampar telinganya. Sayu hatinya mendengar kata-kata Ashraf. Wajah Faizul bertamu hadir tiba-tiba dalam beberapa rupa mengganggu mindanya.
“Pergi!!.. jangan ganggu aku!.. aku benci!!.. pergi!!.. aku tak suka!!” Asnita menjerit. Tanpa sedar tangan Ashraf di tepisnya. Kakinya menendang tubuh Ashraf. Kemudian sepasang tangannya menekup kedua belah telinganya. Ashraf terkesima. Berderau jantung Ashraf diperlakukan sebegitu oleh Asnita. Asnita sudah mula meracau. Azmi pula mengurut dada terkejut dengan tindakan drastik Asnita tadi. Rasa nak dihayunkan penampar ke muka Asnita. Sungguh kurang sopan!
“Mie tolong ambilkan aku segelas air sejuk..”
Azmi melaung memanggil Amira yang sedang khusyuk menonton tv, meminta pertolongan Amira mengambil segelas air yang dipinta Ashraf. Asnita dijeling tajam oleh Azmi. Ashraf menggamit dirinya, meminta memegang tubuh Asnita.
“Kenapa Long?.. Kak Nita?..” Terkejut Amira melihat keadaan kakaknya. Alongnya pula sudah siap memegang tubuh Asnita. Ashraf pula sedang kumat-kamit membaca kalimah Allah sambil menghembus kepala Asnita. Amira terduduk memandang. Biar betul kakaknya.. takkan tersampuk kott..
“Mie.. berikan air ini padanya.. sekejap lagi pulih ler tu.."
Mata Ashraf berkaca memandang Asnita. Entah kenapa hatinya rasa sebak sangat..
Azmi menyambut gelas daripada Ashraf kemudian menyua ke mulut adiknya. Dia hanya mampu menggelengkan kepala melihat Asnita sudah reda amukannya. Nasib baiklah Ashraf ada. Kalau tidak kalut dia dibuatnya. Entah jin apalah yang merasuk adiknya itu.
“Nita, berehat ya.. jangan banyak fikir.. ingat Allah selalu..”
Asnita sekadar mengangguk kepala memandang wajah Ashraf. Keletihannya terasa yang amat sangat. Dia tidak tahu apa yang telah terjadi pada dirinya tadi.
“Subuh esok abang balik.. jaga diri ya..”
Rambut Asnita lembut di belai Ashraf. Asnita mengangguk lagi. Dalam tak sedar dia pun terlena. Setitik air mata lelaki Ashraf tumpah. Azmi dan Amira hanya memerhati dengan penuh simpati. Sebelum berlalu keluar, pandangan mata Ashraf sempat menjamah tubuh Asnita yang sudah di ulit mimpi. Maafkan abang..
Asnita gelisah terbaring diatas katil. Kejadian itu sering menghantui fikirannya. Dia cuba memejamkan matanya untuk melupakan peristiwa itu. Namun dia tetap hadir mengganggu diruangan minda.
“Engkau tak tidur lagi Nita?” Suria teman sebilik menegur. Hairan melihat kelakuan aneh Asnita. Sudah seminggu temannya itu senyap dan diam menyendiri. Kalau bersuara pun bila perlu je. Kemudian duduk termenung memandang luar jendela. Entah kemanalah fikirannya itu jauh melayang.
“Entahlah Ani.. mata aku ni tak mau lelap pula..” Dia bangun dan menghadap Suria yang sedang menyiapkan laporan kuliah.
“Apa yang kau fikirkan sampai tak boleh lelap tu..” Suria berhenti menulis dan berpaling ke arah Asnita. Kemudian dia bangun dan duduk menghampiri temannya itu.
“Apa sebenarnya masalah kau ni Nita.. cuba cerita pada aku. Manalah tahu aku boleh tolong. Sejak kau balik ni mendung kelabu jer aku tenguk muka kau tu..”
Asnita diam. Wajah itu bertamu hadir lagi. Menyesakkan fikirannya.
“Ceritalah.. kalau aku tak dapat membantunya, sekurangnya lega sikit kepala kau itu memikirnya. Kita ni satu bilik. Susah senang kita kongsi bersama..”
Terharu Asnita dengan sikap prihatin teman sebiliknya itu. Memang dia akui Suria adalah teman yang baik. Dia bersyukur punya teman seperti Suria.
“Sebenarnya tak adalah berat sangat masalah aku ni Sue.. tapi entahlah. Bila memikirkannya aku jadi rungsing.. hati aku sakit Sue..” Asnita cuba mengawal agar airmatanya tidak tumpah. Suria terus menanti kata yang seterusnya keluar dari Asnita.
“Kau ingat tak lagi Faizul yang aku pernah ceritakan kat kau?.” Suria angguk kepala.
“Kenapa dengan dia?.. dia buat benda yang tak baik dekat kau ker?” Suria cepat memintas.
“Kau ni.. bukan macam tu ler.. suka fikir yang bukan-bukan..”
Suria sengih. Sebenarnya dia sudah tak sabar mendengar cerita Asnita.
“Hmm.. Aku tak tahu bila perasaan aneh ini timbul.. tapi bila mengenangkannya aku rasa bahagia sangat Sue.. sukar untuk aku ungkap dengan kata-kata..” Asnita melepaskan keluhan.
“Dah tu apa masalahnya sekarang?..” Suria makin pening.
“Dia tipu aku.. dia dah kahwin. Aku benci dia..” Asnita menumbuk bantal. Kemudian hujung bantal itu pula dipulas sekuat hati. Geram!
“Kau pasti?.. kau ada bukti?”
“Aku nampak dia depan mata aku kat Hentian Rehat Ulu Bernam.. mereka tiga beranak mesra kemain. Selamba jer dia pandang aku.. aku berdiri kat situ macam tunggul mati!.. sakitnya hati aku..”
Suria geleng kepala. Ingatnya masalah besar negara yang perlu dipantau. Rupanya.. kes remeh uda dan dara.
“Kau dah selidik?.. maksud aku bertanya kepadanya.. Mana tau sedaranya ke?.. tak pun pelanduk dua serupa..”
Asnita terdiam. Otaknya mula memikir. Pelanduk dua serupa?.
“Kau tak boleh buat keputusan terburu-buru Asnita. Aku rasa baik kau hubungi dia dan bertanya lanjut darinya. Berdiam diri dan berprasangka buruk tak mendatangkan apa-apa kebaikan. Kau juga yang merana nanti. Hubungilah dia untuk mendapat penjelasan lanjut. Aku yakin dia benar-benar serius dengan kau..” Suria memberi kata-kata semangat.
“Kalau dia mengaku yang dia dah kawin macam mana Sue?..”
“Nasihat aku, kau berundur ajelah.. jangan cari nahas!. Banyak lagi lelaki lain kau boleh buat suami. Menyayangi tak semestinya memiliki Asnita.. ingat, berdosa kalau kita meruntuhkan rumah tangga orang. Cuba kau letak diri kau di tempat isterinya, apa perasaan kau bila suami kau dirampas orang lain?.. sakit hati tak? Kau boleh bertahan ke hidup bermadu?.. memanglah orang kata madu tu manis.. tapi pahit bagi kita bila tanggungjawab suami tidak dilaksanakan dengan sempurna.. Kalau aku tak sanggup!.. Banyak risikonya..”
Asnita terdiam lagi. Otaknya ligat berfikir. Kalau dia pun memang tak mahu untuk bermadu atau dimadukan. Macam-macam cerita hangat sekarang yang keluar dalam tv dan surat kabar tentang kes tragis poligami. Kes terbaru sampai ada yang sanggup bunuh anak sendiri semata suaminya berhasrat mahu menikah lagi. Termasuk kes serang menyerang sesama madu kerana tak cukup nafkah zahir dan batin dari pihak suami yang berat sebelah dan tidak berlaku adil. Penggunaan ilmu hitam tak payah ceritalah dan jadi alat permainan pula untuk balas dendam kerana sakit hati. Kalaulah kena kat batang hidung dia, mati meragan agaknya. Huh, tak sanggup! tak kawin pun tak apa ler janji jiwa tenang..
“Jangan difikirkan sangat hal itu.. nanti tak pasal kepala kau mereng. Malam ni kaji apa yang aku cakap tadi. Ingat, bertindak dengan fikiran yang waras. Aku pun dah mengantuk ni..” Suria mula mengemas meja studinya
Asnita menimbang semula kata-kata temannya itu. Serupa dengan apa yang diberitahu alongnya. Ada kebenarannya kata-kata mereka. Dia yang terlalu mengikut perasaan hati dan bisikan syaitan. Sampai ada hati yang terluka dengannya.. Ya Allah bersalahnya aku pada dia..
Asnita mematikan talian telefon. Wajahnya ceria terukir senyuman gembira. Faizul hendak datang sabtu ini berjumpa dengannya. Tadi semasa di awal perbualan dengan Faizul, nada suaranya agak keras. Dia dapat rasakan Faizul terkejut dengan amukan suaranya di talian. Tetapi bila Faizul memperjelaskan duduk perkara yang sebenar, suaranya mula mengendur.
Faizul memberitahu, dia mempunyai abang sulung yang seiras wajah dengannya yang bernama Fariz. Abangnya sudah berkeluarga dan mempunyai seorang cahaya mata lelaki. Tak mustahillah kalau Asnita terserempak. Memang kalau sekali dilihat, orang akan menyangka Fariz adalah Faizul!.. Buat gelak dengan Faizul aje.. Tak pasal dia di kata Faizul cemburu buta. Asnita menggigit jari. Malu teramat sangat pula rasanya. Mesti Faizul gelak tak sudah kat sana.
Baru selangkah kakinya hendak menapak, langkahnya mati. Abang Ashraf!.. ingatannya pada lelaki itu tiba-tiba datang menerpa diruang fikiran. Sudah hampir seminggu lebih lelaki itu menyepi. Marahkah dia denganku?. Asnita mencapai telefon bimbit dalam beg galasnya. Dia pantas menekan nombor telefon bimbit Ashraf. Ingin membuat kejutan pada Ashraf. Selain itu, dia ingin memohon maaf kerana berkasar dengan lelaki yang telah banyak berbudi kepadanya.
Alunan lagu Karam nyanyian kumpulan Zabarjad menampar telinganya. Sungguh mendayu sekali. Dia sabar menanti. Agak lama tanpa berangkat. Dia menekan redail sekali lagi. Kali ini hanya suara peti simpanan yang menjawab. Entah kenapa dadanya rasa berdebar-debar dengan tiba-tiba. Dia termenung sekejap. Dia cuba menekan redail untuk kali yang terakhir.. suara peti simpanan masuk..
“Abang.. Nita ni. Apa kabar?.. Nita nak minta maaf.. Nita tau abang jauh hati dengan Nita.. Maafkan Nita eh.. Nita rindulah kat abang…”
Talian dimatikan. Sekurangnya Ashraf sudah mendengar dan menerima kata maaf darinya walau hanya dalam voice massage. Asnita melihat jam dipergelangan tangan. Angka menunjukkan pukul 3:30 petang, teringat yang dirinya belum lagi menunaikan solat zuhur. Segera dia menapak laju balik ke dorm.
Selesai berzikir dan berdoa, Asnita membuka telekung. Matanya terpandang mug doraemon pemberian Ashraf semasa dia mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR. Mug itu ditatap dengan penuh minat. Ingatannya melayang..
“Apalah Abang Ashraf ni.. ada ke bagi cawan doraemon besar nih kat orang.. bagi ler hadiah lain.. beruang besar ke..” Asnita mengomel saat hadiah pemberian Ashraf dibuka.
“Saje abang nak bagi mug doraemon ni sekurangnya nanti hilang rindu Nita pada Doraemon ni..” Ashraf kenyit mata. Dulu memang abang sepupunya itu minat sangat dengat kartun jepun Doraemon yang sudah di alih bahasa. Sampai sekarang minat Ashraf tak pernah surut. Mengalahkan budak kecil aje.
“Tau kenapa abang pilih mug doraemon ni?.. “ Asnita geleng kepala.
“Sebab abang ni kan Doraemon Nita.. kalau tak de bantuan Doraemon, Nobita mesti selalu kena buli dengan Giant..” Asnita gelak besar bila Ashraf merujuk Giant tu Along Mienya. Dan dia pula Nobita. Tersenyum sendiri mengenang kisah itu. Memang melucukan hatinya.
Kemudian dia membuka pula kotak muzik pemberian Faizul. Dia memainkannya.. asyik sebentar melihat patung ballet bergerak mengikut alunan muzik. Wajah Faizul pula bertamu hadir. Dia tersenyum. Suria pernah berkata kepadanya bahawa dirinya bertuah disayangi oleh dua orang lelaki. Sayangkah mereka dengan ku?. Kotak muzik itu kemudian disimpan.
Hatinya terdetik untuk membuka computer. Dah lama dia tak melayari internet. Dia membuka laman web yahoo.com kemudian login untuk membuka email. Matanya terpaku pada pengirim email amirash_dmon@yahoo.com. Dia melihat tarikh yang tercatat. Rupanya sudah empat hari email itu berada dalam inboxnya. Hujung jarinya pantas melarikan tetikus dan klik pada alamat email itu.. Jantungnya berdebar saat membaca email kiriman Ashraf..
Menemui Asnita yang selalu abang ingati dan rindui..
Assalamualaikum.. abg harap Nita berada dalam kandungan sehat sejahtera hendaknya. Abang disini alhamdulillah sehat cuma terlalu rindu dengan usikan dan gelak ketawa Nita. Terlebih dulu abang mohon maaf andai kiriman email abang ini mengganggu kedamaian dirimu di sana. Bagaimana dengan studi Nita disana?. Abang harap semoga Nita tetap tabah dan cekal mengharungi hidup untuk menjadi seorang pendidik yang selama ini Nita impikan.
Sebenarnya ketika email ini di taip, abang di kampung. Sengaja abang mengambil cuti panjang lagi untuk merehatkan fikiran dengan keluarga. Tadi abang call rumah Nita, Along Mie kata Nita dah balik hostel. Frustnya abang tak dapat cakap dengan Nita. Hmm… Along Mie ada bagi no hp Nita pada abg, tapi malaslah abang nak call Nita. Abang tak mahu ganggu Nita tengah studi.
Abg mohon maaf andai ada kesalahan abg pada Nita. Tempohari abang benar-benar panik dan terkejut melihat amarah Nita. Maafkan abg kerana menyakiti hati mu dan meninggalkan Nita sendirian walau abg tak tahu apa sebenarnya yang terjadi pada Nita pada waktu itu. Tolong maafkan abg ya..
Asnita ku sayang, sebenarnya abg terlalu amat menyayangi dirimu. Perasaan ini telah lama abg simpan sejak sekian lama. Abg tak tahu bila wujud perasaan ini dalam diri abg. Dari kasih seorang abg, bertukar menjadi cinta yang mendalam pada sang kekasih. Maafkan abang kerana selama ini tidak pernah berterus terang dengan Nita. Abg takut dan ragu-ragu akan penerimaan Nita pada abg. Buat pengetahuan Nita, gadis misteri yang selalu abg perkatakan pada Nita adalah Nita sendiri. Abg tahu, kadang abg selalu bermain dengan teka-teki. Maafkan abg..
Asnita.. abg terlalu mencintai dirimu. Wajah dan senyuman mu sentiasa terbayang diruang ingatan abg. Bila berjauhan, hanya kenangan yang abg bawa untuk melepaskan rindu abg yang terbeban di dada. Terlalu payah untuk abg singkir nama Nita dari sudut ingatan abg. Bagi abg, Nita adalah segalanya untuk abg. Maaf sekali lagi abg pinta kerana meluahkan segalanya. Abang sudah tidak berdaya lagi memendam rasa hati. Kalau boleh abg ingin menjadikan Nita suri hidup abg dan menjadi ibu pada anak-anak abg. Pasti Nita anggap ini keterlaluan tetapi itulah hakikatnya. Terpulanglah pada Nita untuk membuat keputusan.
Sekiranya Nita menolak, abg tetap terima. Abg tidak akan marahkan Nita. Abg faham. Tetapi akan hampa dan kecewalah abg seumur hidup. Kerana bagi abg tiada orang lain yang boleh menggantikan tempat Nita dalam hati abg. Maaf beribu kali maaf andai kata-kata abg ini melukakan hatimu sayang. Abg tidak mahu menjadi insan yang hipokrit.
Seandainya memang tiada jodoh antara kita, abg tetap pasrah pada ketentuan takdir Ilahi yang tersurat pada abg. Abg berjanji akan pergi jauh dari sudut hati Nita. Biarlah kenangan indah kita abg bawa bersama walau sehingga menghembus nafas yang terakhir. Abg rela mati dari melihat Nita bersama orang lain.
Nita sayang, maaf jua lagi abg pinta kerana kata-kata abg itu. Abg tak tahu kenapa dada abg sebak tatkala mencoretkan kata-kata ini. Abg harap Nita faham akan perasaan abg dan abg tetap menunggu jawapan dari Nita walaupun nanti jawapan yang bakal Nita beri itu akan mengecewakan hati abg.
Abg berdoa semoga Nita berjaya dalam apa jua bidang yang Nita ceburi. Seandainya Nita menghadapi tekanan, selalulah ingat pada Allah. Jangan tinggal sembahyang dan sentiasa berdoa memohon perlindungan pada Yang Maha Pencipta. Kerna setiap dugaan dan ujian itu datang dari-NYA.
Sampai disini kiriman warkah abg buat tatapan dirimu disana. Andai kata-kata abg ini menyinggung hatimu kemaafan jua yang abg pinta. Abg hanyalah insan yang lemah yang sering melakukan kesilapan. Jaga diri, hiasai peribadi. Sekian, wassalam. Salam kerinduan dari abg ...
Amir Ashraf Dahlan
Jantung Asnita berdegub pantas. Dia seakan tidak mempercayai apa yang dibacanya. Ashraf mencintai dirinya?. Kata-kata Ashraf benar-benar menyentuh perasaannya. Airmatanya jatuh berguguran mengalir ke pipi. Dia tidak tahu apa yang harus diperbuat. Segalanya begitu berserabut difikiran. Kenangan lama menggamit hadir. Segala kebaikan dan keprihatinan Ashraf pada dirinya dinilai satu persatu. Bila bersama Ashraf terasa kegembiraan dan kebahagiaan milik mutlaknya. Tidak pernah dia berasa kekurangan pada diri Ashraf walau sedikit pun. Ashraf juga telah banyak berkorban untuk dirinya. Rasanya tidak terbalas budi yang ditabur Ashraf padanya. Sampai dia dulu pernah berangan punya kekasih seperti Ashraf. Dia juga pernah suarakan perasaan itu pada abang sepupunya. Ketika itu Ashraf hanya tersenyum.. dan senyum.. kemudian, dia jadi malu selepas itu. Segala perasaan yang tersimpan, dia pendam dalam diam.
Faizul!.. wajah faizul bertamu hadir. Dia mula membandingkan perwatakan Faizul dengan Ashraf. Keduanya mempunyai sikap dan penampilan yang sama. Itu yang membuatkan dia tertarik hati pada Faizul. Cuma dengan Faizul dia kurang mengetahui latar belakang lelaki itu dengan jelas. Sukar untuk dirinya membuat keputusan. Ternyata keduanya begitu amat dia sayang. Untuk menghampakan Faizul dia tidak sanggup kerana hatinya sudah berjaya dicuri oleh lelaki itu. Untuk mengecewakan Ashraf lagilah dia tidak sanggup. Kata-kata yang tertera tadi sudah cukup membuatkan hati wanitanya tersentuh.
Ya Allah betapa beratnya dugaan yang KAU berikan kepada ku.. airmatanya mengalir.. email Ashraf diprintnya..
Jam menunjukkan tepat pukul 12:30 tengah malam. Asnita menamatkan pembacaan doanya. Suria yang tidur di katil sebelah, telah lama lena dibuai mimpi indah. Asnita termenung sekejap memikirkan keadaan dirinya yang sentiasa gelisah tak menentu. Entah kenapa sejak dari petang tadi hanya bayang dan nama Ashraf sentiasa menghantui fikirannya. Teringat kejadian lewat petang tadi..
Dia bercadang hendak membaca Al-Quran bagi menenangkan hatinya selepas membaca kiriman email Ashraf yang begitu menyentuh hati. Entah kenapa sewaktu hendak mencapai Al-Quran, dengan tidak sengaja tangan kirinya tersenggung mug doraemon pemberian Ashraf. Berdetak jantungnya tatkala memandang mug itu berkecai hancur atas lantai. Mug itu memang amat dia sayang. Menangis dia bila mug yang selama ini dia jaga hancur depan mata. Mungkinkah itu petanda?.
Ketukan pintu yang bertalu membuatkan lamunan Asnita terhenti. Kedengaran namanya dipanggil dari luar. Dia bingkas bangun dan segera membuka pintu tanpa sempat membuka telekung. Kak Rohana Warden Asrama tercegat di muka pintu.
“Ada apa kak?”
“Awak Asnita bukan?”
Laju Asnita mengangguk. Wajah warden dipandang dengan penuh curiga.
“Abang awak sedang menunggu dipondok pengawal. Dia meminta awak bersiap dengan segera. Ada saudara awak sakit tenat di kampung..”
Jantung Asnita bertambah laju degupannya. Adakah sesuatu yang telah berlaku di rumah Mak Long? Abang Ashraf sakit ke?. Wajah itu bertali arus bermain difikirannya. Mungkinkah sesuatu yang terjadi kepada Ashraf?.. tak sanggup untuk dia memikirkan kemungkinan itu.
Setelah bersiap apa yang perlu untuk di bawa, Asnita meninggalkan mesej diatas meja untuk Suria. Dia meluru keluar dan mengunci pintu dari luar. Dia tidak perlu risau kerana Suria ada memegang anak kunci yang lain.
Asnita berlari pantas menuju kearah bilik wad ICU yang menempatkan Ashraf. Bila saja pintu bilik terbuka, Pak Long dan Mak Long serta ayahnya sudah berada disisi katil Ashraf membaca surah Yassin. Semua pasang mata memandang kearahnya. Sekujur tubuh pucat Ashraf terbaring lesu dengan kepala berbalut kain putih. Terdapat kesan darah pada kain balutan itu. Wayar berselirat mencucuk tubuh Ashraf. Dia pantas mendakap Ashraf tanpa menghiraukan semua yang ada di situ. Hatinya bagai disiat-siat melihat keadaan Ashraf yang hanya bergantung nyawa dengan mesin hayat.
“Abang Ashraf… ini Nita datang..” Tangan Ashraf diraihnya dalam genggaman.
“Maafkan Nita abang.. Nita bersalah pada abang.. ampunkan Nita abang.. Nita janji tak akan melukakan hati abang lagi.. Nita perlukan abang…”
Segera dia mengeluarkan sesuatu dari poket baju kurung yang dipakainya. Entah mengapa hatinya tergerak untuk membawa warkah kiriman email Ashraf, sewaktu hendak keluar biliknya.
“Ini..” Sambil tangannya menunjukkan kertas putih itu. “Email abang Nita print.. Nita baru baca petang tadi.. Nita terima abang dari hati ikhlas Nita.. abang janji ya jangan tinggalkan Nita.. Nita janji akan jaga abang untuk selamanya…”
Tubuh Ashraf lantas dia dakap erat. Dia menangis semahu-mahunya di atas dada lelaki itu. Terasa ada tangan memegang hujung rambutnya perlahan. Dia memandang ke wajah Ashraf. Mata Ashraf terbuka sedikit. Seakan mulut Ashraf bergerak-gerak. Asnita kurang jelas apa yang di perkatakan Ashraf. Lantas segera menekap telinga ke bibir Ashraf.
“Abang… dah.. lama.. maafkan.. terima dia.. untuk.. ganti tempat.. abang.. abang tetap bahagia.. abang.. pergi dulu… maafkan abang…”
Walau nafas yang tersekat Ashraf cuba untuk menuturkan kata-kata. Dia tahu masanya sudah tiba. Wajah Asnita ditatap dalam tenang dengan degupan nafas yang semakin lemah. Hajatnya untuk melihat Asnita buat kali yang terakhir dimakbul Ilahi. Sekarang dia sudah bersedia.
“Tidakk… jangan tinggalkan Nita. Nita perlukan abang!.” Berjujuran airmatanya melimpah keluar. “Ya Allah, pulangkan abang Ashraf semula padaku..”
Tangisan Asnita semakin kuat bergema. Mak Long datang mengurut belakangnya.
“Sabar Asnita..” Airmata Mak Long juga laju mengalir. Hatinya juga sedih. Pak Long, ayah dan alongnya hanya memerhati dengan pandangan yang sayu.
“Nita perlukan abang.…” Laju airmatanya mengalir. Tangan Ashraf semakin erat digenggam Asnita. Kerdipan mata layu Ashraf ditatapnya. Ada sesuatu lagi yang ingin diperkatakan oleh Ashraf kepadanya.
“Jangan menangis sayang… redhakan abang pergi…”
Dadanya mula berombak kuat. Satu cahaya terang sudah hampir benar kepadanya. Saatnya sudah semakin tiba.. Asnita mengangkat wajahnya. Wajah Ashraf sudah memucat. Dia tahu saat ajal Ashraf sudah sampai. Airmatanya berguguran jatuh lagi. Dia cuba menahan tangisan. Pesanan Ashraf tidak mahu ditangisi pemergiannya di pegang erat.
“Abang… mengucap bang….” Asnita membisikkan kalimah Allah di cuping telinga kanan Ashraf. Jelas di matanya Ashraf pergi dalam ukiran senyuman ketenangan.
Tiba-tiba Asnita rebah ke lantai. Segalanya gelap dia rasakan.
Selepas menunaikan solat subuh dan menghadiahkan bacaan Yassin kepada arwah Ashraf, Asnita terus mematikan diri didalam bilik Ashraf di rumah Mak Longnya. Bunyi bising orang bertukang jelas kedengaran di bawah rumah. Agaknya orang-orang lelaki dibawah sedang sibuk bertukang menyiapkan keranda buat arwah Ashraf. Jam pula sudah menunjukkan pukul 10.00 pagi. Mungkin sebentar lagi jenazah Ashraf akan di usung ke tanah perkuburan.
Asnita memerhati setiap ruang bilik itu. Hatinya tersentuh bila terkenangkan senda guraunya bersama arwah sewaktu berkunjung kemari. Sebak dadanya mengingati semua itu. Paling sebak bila dia memarahi arwah tanpa sebab.
Matanya terpandang baju sejuk hadiah pemberiannya kepada arwah Ashraf setahun lepas. Kemas tergantung didinding. Dia menggapainya. Masih terlekat aroma minyak wangi arwah pada baju tersebut. Airmatanya yang tadi kering kembali tumpah. Terasa ada sesuatu benda keras didalam kocek baju tersebut. Hujung jarinya menyeluk kedalam. Dompet?. Mungkin agaknya milik Ashraf. Segera dompet itu dibukanya. Tersentak jantungnya melihat gambar wajahnya sewaktu berusia dua belas tahun. Tersenyum manja dalam dompet tersebut. Hatinya makin merintih pedih. Makin laju airmatanya gugur jatuh. Dia masih ingat lagi gambar inilah yang diambil oleh Ashraf sewaktu keluarganya mahu berpindah ke Simpang Renggam kerana ayahnya bertukar bertugas kesana. Katanya gambar itu untuk menghilangkan rindu bila berjauhan. Kemudian diletakkannya semula ketempat asal.
Frame gambar Ashraf yang terletak di atas meja tulis bersebelahan computer, ditatap sayu. Gambar itu seakan hidup, sedang tersenyum padanya. Jari jemarinya meraih potret itu lalu didakap erat ke dada. Hanya Allah saja yang tahu betapa peritnya perasaannya ketika ini.
“Abang… Nita rindukan abang…”
Asnita terus menatap potret Ashraf. Dia cuba menarik keluar gambar Ashraf di dalam frame. Dia mahu menyimpannya buat kenangan. Sekeping gambar lagi jatuh ke lantai dalam keadaan terbalik. Asnita segera mencapai gambar tersebut. Jantungnya berdebar. Gambar Faizul kelihatan tersenyum mesra disamping Ashraf sambil memegang bendera kelab kembara sekolah. Dia membaca kata-kata dibelakang gambar tersebut.
Gambar ini diambil ketika aku dan Pezul Berjaya menakluki Gunung Ledang sewaktu Ekspedisi Pendakian Ledang pada 17 Jun 1989.
“Ya Allah..” Asnita mengurut dada kerana terperanjat. Ashraf dan Faizul bersahabat baik?. Mungkinkah suratan atau kebetulan?
“Kak Nita, lekas… mereka dah nak bawa abang ke kubur..”
Atiqah menyapa lembut bahu Asnita. Dia turut juga bersedih akan kehilangan abang kandungnya itu. Begitu juga dengan adik-beradik yang lain. Ayah dan ibunya lagilah pula. Sedih tetap sedih. Setiap yang hidup, pasti akan kembali ke pada Yang Maha Esa. Alhamdulillah mereka sekeluarga punya ketabahan.
“Ati… boleh kakak simpan gambar ini?” Dua gambar itu ditunjukkan kepada Atiqah.
“Ambillah kak.. oh ya.. baru Ati teringat. Petang semalam arwah abang ada berpesan pada Ati. Sekiranya dia tak ada nanti, dia minta akak simpan segala barang milik peribadinya.. abang mohon maaf kerana tidak dapat tunaikan hasratnya.. abang juga redha akak mengahwini abang Faizul.”
Asnita kurang mengerti. Wajah Atiqah dipandang dengan penuh tanda tanya.
“Ati pun pelik kak.. kenapa abang berkata begitu. Semalam abang mengadu sakit kepala, dia minta Ati belikan penadol. Belum sempat Ati nak keluar rumah Ati dengar bunyi dentuman kuat kat bilik abang. Bila Ati naik, tenguk abang pengsan dengan kepala berdarah kat lantai. Nasib along Mie ada. Dia yang hantarkan abang ke hospital..”
Atiqah mengimbas kembali kepulangan abangnya itu kekampung empat hari yang lalu. Hairan mereka sekeluarga bila Ashraf ingin menetap terus disini. Senang katanya adik beradiknya nanti menjengah dia kemari. Sekurangnya ibu dan ayahnya punya teman. Ashraf juga memberitahu ibunya tentang hasratnya selama ini yang terpendam diam.
Abangnya mahu memperisterikan Asnita. Kalau tiada jodoh mereka, dia redha nyawanya diambil Ilahi. Dia sempat mencuri membaca kiriman email abangnya itu sebelum disend kepada Asnita. Kebetulan masa tu ibunya memanggil abangnya kedapur. Dia pula secara tak sengaja masuk bilik abangnya nak mencari kamus dewan. Mengalir airmatanya membaca luahan hati abangnya itu.
“Kak Nita kenal Abang Faizul?”
Asnita mengangguk lemah. Kepalanya masih memikir kata-kata Atiqah tadi. Pelik?. Ashraf tahukah hubungannya dengan Faizul?.. Bila masa mereka berjumpa?.
“Baguslah macam tu.. Jom kak.. nanti terlambat..”
Atiqah sudah mendapat kesimpulan. Tak perlu bertanya lanjut. Dia tahu. Kisah demi kisah yang berlaku ada hikmahnya. Asnita masih tetap tidak berganjak. Sebenarnya dia tak sanggup untuk menatap wajah kaku Ashraf. Segala penyesalan masih menyelubunginya.
“Kak, marilah… abang tetap dah pergi. Akak tak mahu lihat abang buat kali yang terakhir? Kalau abang ada pun dia takkan benarkan kak Nita begini.. mari kak..”
Tangan Asnita diraihnya.Dengan langkah longlai Asnita menurut langkah kaki Atiqah menuju jasad arwah Ashraf yang sudah siap berkafan.
Faizul berteleku di atas tunggul kayu mati menghadap kearah pusara yang masih lagi merah. Berita kematian mengejut Ashraf di beritahu kakaknya Ida pagi tadi benar-benar memeranjatkannya. Dia yang pada waktu itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur segera berpatah balik ke belakang untuk melihat jenazah Ashraf buat kali terakhir. Namun dia terkilan kerana sewaktu ketibaannya, jenazah Ashraf sudah selamat turun ke liang lahat dan sudah dikambus tanah. Orang ramai yang membanjiri pusara Ashraf sudah mulai beredar pulang.
Paling mengejutkan dirinya juga tadi, Asnita juga kelihatan di tanah perkuburan di sisi Atiqah dan Amira dengan mata yang membengkak. Dia langsung tidak menjangka Asnita dan Ashraf mempunyai pertalian persaudaraan. Kehadirannya di situ langsung tidak disedari oleh Asnita kerana dia terlindung di sebalik pokok besar. Segala gerak-geri Asnita dapat di perhatikannya dengan jelas. Mungkinkah Asnita gadis yang disebut-sebut Ashraf?.
Faizul mengimbas detik pertemuannya dengan Ashraf dua hari lepas di kedai kopi, Teluk Intan. Sudah lama mereka tidak berjumpa. Itupun mereka bertemu secara kebetulan. Pelabagai topik cerita mereka bualkan. Sehinggalah tentang persoalan teman hidup. Wajah Ashraf berseri-seri bila kisah gadis misteri dibangkitkan olehnya. Tak putus-putus Ashraf mengukir senyuman. Jelas terpancar keceriaan di wajah Ashraf kerana dia sudah meluahkan isi hatinya pada gadis idamannya. Dia tumpang gembira mendengar perkhabaran itu. Mereka sama-sama kongsi cerita. Tetapi bila saja dia menyebut nama Asnita, wajah Ashraf berubah terus. Langsung cepat-cepat meminta diri untuk pulang. Katanya tak sihat badan. Dia ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga.
“Hei, Zul..” Bahunya di tepuk dari belakang.
“Azmi?” Faizul kehairanan memandang wajah Azmi. Sudah lama dia hilang khabar berita tentang Azmi. Dulu mereka sama-sama menuntut di Twintech Institude. Selepas tamat, dia sambung buat degree kat UPM manakala Azmi dapat tawaran belajar ke luar negara. Walau wajah Azmi sedikit berubah namun dia dapat mengecamnya. Mereka bersalaman.
“Kau mengenali arwah?”
“Dia sahabat baik aku masa di MRSM Teluk Intan dulu. Sehingga kini kami masih lagi berkawan. Lagi pula dia adalah adik dua pupu suami kakak aku..”
“MasyaAllah.. ya ke?.. aku pula sepupu dia. Mak dia dan mak aku adik beradik..” Azmi menepuk dahi.
“Tapi sayang, aku tak dapat nak lihat wajah arwah buat kali terakhir..” Faizul melempar pandangan ke pusara Ashraf. Dia sedih.
“Bersabarlah Zul.. dah Allah lebih sayangkan dia dari kita.. hari kita pula pasti datang.. tak tahu bila pula harinya. Doakan sajalah agar rohnya tenang di sana..” Bahu teman di tepuk perlahan.
“Mana keluarga kau Mie?”
“Tu kat sana.. yang baju kurung hijau pucuk pisang tu mak aku. Baju kelabu tu pula ayah aku. Haa.. yang baju kurung putih tu adik aku..”
“Asnita tu adik kau Mie?” Faizul makin terkejut bila jari telunjuk Azmi menunding kearah Asnita yang sudah masuk ke dalam perut kereta.
“Kau kenal dia?” Kening Azmi berkerut.
“Lebih dari kenal Mie.. tak sangka pula aku kau ni abang dia..”
“Jadi.. inilah Faizul yang disebut Asnita..” Azmi ukir senyum bermakna. Faizul tersengih malu. Ya Allah semuanya telah tersurat oleh Ilahi tiada siapa yang menduga.
“Hmm.. baguslah macam tu. Kau pun aku dah kenal. Sewaktu arwah masih hidup, banyak dia bercerita tentang kebaikan kau pada aku. Cuma aku belum melihat aje siapa orangnya. Masa tu pun aku tak ambil kisah sangat. Lihat betapa kecilnya dunia ini..”
Azmi menggenggam sesuatu di dalam kocek baju melayunya. Faizul perlu tahu. Hanya Faizul saja yang boleh merawat kelukaan adiknya dan melaksanakan impian arwah Ashraf. Kata-kata terakhir Ashraf bermain-main di cuping telinganya..
“Mie.. maafkan aku. Selama ini aku banyak berahsia dengan kau setiap kali kau persoalkan tentang teman hidup aku. Maaf kerana merahsiakan perasaan aku ini dari pengetahuan kalian berdua.. Aku mencintai Asnita Mie.. Aku tahu aku dah terlewat.. Aku nak jumpa dia Mie sebelum aku pergi.. tolong aku Mie, aku mahu jumpa Asnita.. sebelum aku tutup mata, aku nak lihat Asnita buat kali terakhir…tolong aku Mie..”
Kerana mahu menunaikan permintaan Ashraf, petang itu juga dia memecut laju kereta agar cepat segera sampai ke kampus Asnita. Kebetulan dia dan keluarganya turut sama berada dikampung kerana menyelesaikan urusan hak pemilikan tanah keluarga sebelah ayahnya. Warkah email Ashraf yang dibacanya semalam menjawab teka-teki Ashraf selama ini. Dia tidak menyangka rupanya selama ini Ashraf menaruh hati dengan adiknya Asnita. Paling amat dia terkejut mendapat berita daripada doktor semalam mengatakan yang Ashraf selama ini mengidap barah otak. Hentakkan yang kuat dikepalanya menyebabkan darah membeku di tempurung kepalanya. Kalau dapat dilakukan pembedahan pun peluang untuk hidup amat tipis sekali.
“Zul.. ambil ini..” Azmi menghulurkan sekeping kertas putih kepada Faizul.
“Surat apa ni Mie?” Teragak-agak Faizul mahu mengambilnya.
“Ini warkah terakhir arwah kepada adik aku. Kau bacalah.. kertas ni aku kutip masa Asnita rebah kat wad ICU selepas Ashraf menghembuskan nafas terakhirnya..”
Lipatan warkah itu dibaca Faizul. Sebak hatinya membaca setiap isi yang terkandung. Air mata lelakinya tumpah jatuh. Ashraf, patutlah wajahmu berubah cuaca ketika aku menyatakan gadis pilihanku adalah Asnita. ASNITA BT MAHAT. Rupa-rupanya dia adalah gadis misterimu!. Maafkan aku Ash, bukan maksud ku mahu melukakan hati mu dan merebut dia dari mu. Sebenarnya aku tidak tahu langsung yang Asnita itu adalah orangnya.
Ingatan Faizul melayang terkenang kembali peristiwa Ekspedisi Pendakian Gunung Ledang yang pernah mereka sertai lebih lapan belas tahun dahulu..
“Ash, akhirnya berjaya juga kita ye menawan puncak Gunung Ledang ni kan?.. aku harap satu hari nanti kita berdua bolehlah sama-sama menawan puncak Gunung Everest yang tertinggi di dunia. Sekaligus mengharumkan nama Malaysia. Pasti gadis misteri kau tu bangga giler kat kau.. Ya.. Malaysia Boleh!!” Dia mengibar-ngibar bendera Malaysia yang dipegang.
“Boleh tu memang boleh Pezul.. aku teringin juga nak tawan puncak Everest tu. Aku nak buktikan pada dia, aku mampu lakukan segalanya.. tapi, nanti jangan pula kau yang tertawan dengan gadis misteri aku tu pula.. mana ler tahu kan.. parah aku nanti..” Ashraf ketawa mengekek. Berseri-seri wajahnya.
“Ke situ pulak kau ni Ash. Masakan aku nak menawan dia. Kenal pun tidak. Kau nih.. ada ke patut.. ceh!.. lagipun tak rocklah layan cintan cintun nih!.. iee gelilah!” Bahu teman di tolak perlahan. Tawa mereka terburai.
Memang Faizul kadang berasa sedikit pelik bila Ashraf sering saja mengaitkan dirinya dengan gadis misterinya itu. Siap bagi amaran lagi. Walau dia sendiri langsung tak pernah melihat wajah atau gambar gadis itu.
Ashraf, masin sungguh mulut mu.. apa yang kau pernah lafazkan dulu memang benar-benar menjadi kenyataan. Ya, aku telah berjaya menawan gadis misterimu itu. Sehingga membuatkan hati kau terluka…Hatinya berbisik. Kepala nisan di pusara Ashraf di pegangnya kejap. Ashraf, aku berjanji akan menjaga Asnita sebaik mungkin. Aku akan menjadikan dia permaisuri hatiku sedikit masa lagi. Biarlah aku menjadi penyambung kasih mu yang tidak kesampaian. Aku berjanji tidak akan mensia-siakannya. Aku doakan semoga roh mu ditempatkan oleh-NYA dikalangan roh orang-orang yang beriman. AL-FATIHAH.
ILHAM CIPTA : AZWA SAFWA MAC 07