"Renunglah sinar rembulan bila saat rindukan saya.. pasti wajah saya menjenguk hadir.. seindah sinar rembulan, seindah itulah cinta saya pada awak.. walaupun jauh untuk digapai, awak tetap indah dan menawan dalam hati saya.."

Monday, July 15, 2013

Makcik Bulan de post FB

Katanya, Dakaplah hidup ini sepenuh kasih sayang. Dakaplah erat-erat.

Lalu, aku menarik gebarku menyelimuti seluruh tubuh. Merengkotkan badan dalam pembaringan kesisi menghirup udara kehidupan. Sedang terasa nyaman. Sedang terasa hangat. Sedang terasa tenang. Lapang. Dibalik gigit dingin pagi yang menjemput matahari. Masih meledak kobar suria mahu memuntahkan cahayanya. Dan, kicau-kicau burung terus menerus bertasbih dengan riuhnya menyusun irama syahdu memuji dengan rasa syukur atas nikmat waktu pagi.

Aku memeluk erat tubuhku.
Sedang merasa nyaman. Sedang merasa hangat. Sedang melelapkan jiwa disamping kerehatan minda. Namun, masih berlarutan kata-kata itu tersusun didalam minda. Berulang-ulang bersama kicau burung yang kian riuh.

"Dakaplah hidup ini dengan kasih sayang."

Aku masih merengkot lagi. Kesejukan waktu pagi.

"Dakaplah erat-erat"
Dan mimpi melayani aku pada impian yang mungkin tidak terjadi, pada realiti.

Silau matahari menyisip masuk dibalik celah-celah tabir jendela menerobos singgah ke lensa pandangku. Sayup kamar sepi ini mula menjadi meriah dengan warna terang yang telah singgah. Ditambah riuh camar dengan alun irama yang tidak ku mengerti mula menjadi gangguan pada lena mimpi yang telah kususun.

Aku bingkas!
Ini hari telah bermula.
Ini hari harus kau ku dakap erat-erat. Ini hari adalah setiap hari yang dipenuhi rasa cinta. Syukur itu tanda cinta. Syukur itu tanda kita terus menerus berkasih sayang, pada Nya. Pada dunia. Dan isi seluruh semesta.

Seselesa mana hidup atau setegar mana sekalipun dugaan sepanjang hayat, masih ada kasih sayang terbentang luas dari Tangan yang mendakap siang dan malam. Sekecil mahupun sekerdil mana hamba yang dihina manusia, tetap setara dalam pandangan nilai mulia di mataNya. Tidak ada manusia yang mahu berada didalam jalan yang engkar apatah lagi jalan yang tidak diredhai. Namun, kehidupan bukan terkadar cerita tentang kebahagiaan, tentang kejayaan, tentang kemewahan, tentang keseronokan. Waima tentang kedamaian. Tetapi Tuhan mencipta semua dari perkataan di atas dengan punya takdir berlawanan. Lalu, masih ada yang terus berjuang dibalik penderitaan, dibalik kegagalan, dibalik kedhaifan, dibalik kemurungan. Waima dibalik percetusan kerakusan manusia yang lain menunjukkan kejamnya. Yang mana, kesemua perkataan-perkataan diatas cuma mahukan kesembuhan jiwa. Jiwa yang memerlukan sedikit penghargaan. Sedikit perhatian. Keseluruhan kasih sayang. Dari keseluruhan watak alam semesta.

Seperti burung-burung yang sedang bertasbih, seperti alam yang sedang bertahmid, seperti jiwa yang sedang berbicara, udara dan bayu masih saling berganti. Hawa panas dan sejuk berputaran didalam galaksi. Aura putih dan aura hitam terus berlingkaran pada perbuatan. Kesemuanya ada dalam ikatan kehidupan saling pertalian. Dan itu, masih kekal dinamakan takdir.

Wahai jiwa yang lemah,
Bangkitlah dari kelemahan.

Wahai jiwa yang bimbang,
Bangkitlah dari kebimbangan.

Wahai jiwa yang murung,
Bangkitlah dari kemurungan.

Jiwa kamu kepunyaan dia.
Dia kepunyaan kamu.
Didalam kamu adanya dia.
Didalam dia, itu kamu.
Kuasa, daya, itu kamu.
Itu kamu.
Untuk terus menjadi
SIAPA KAMU

Wahai jiwa-jiwa yang tenang
Hiduplah dengan penuh kasih sayang.
Nikmati, syukuri.
Dan Tuhan, akan hargai.

Tinta "Mendakapmu Kasih Sayang" by Hirne Saris.

--------------------
20:39. 'Lemparkanlah dia ke dalam tabut (peti), dan lemparkanlah dia ke laut, dan biarkanlah laut melemparnya ke tebing. Seorang musuh-Ku dan musuhnya akan mengambilnya.' Dan Aku lemparkan kepada kamu kasih sayang daripada-Ku, dan supaya kamu dibentuk dibawah mata-Ku (pengawasan-Ku).