"Renunglah sinar rembulan bila saat rindukan saya.. pasti wajah saya menjenguk hadir.. seindah sinar rembulan, seindah itulah cinta saya pada awak.. walaupun jauh untuk digapai, awak tetap indah dan menawan dalam hati saya.."

Tuesday, February 05, 2008

SEKIRANYA KU TAHU

Sekiranya ku tahu, kau cinta padaku
Kusimpan kasihmu, kedalam hatiku
Sekiranyaku tahu, kau puja diriku
Takkanku hampakan hasrat dihatimu..

Sekiranyaku tahu, kau rindu padaku
Kanku sambut tanganmu, ke taman bahagia
Sekiranyaku tahu, kau sanjung diriku
Takkanku lupakan budimu padaku

Bertahun berpisah, rinduku membara
Kusangka kau pergi mencari pengganti
Sinaran matamu, mendebar sukmaku
Hanyalah wajahmu didalam mimpiku..

Sinaran rembulan menyinari malam
Malam yang menunggu kehadiranmu
Kini kau telah pulang membawa harapan
Paduan asmara bersemi akhirnya..


Febuari 1998

23 hari bulan..

(i) Hari ini aku temuduga kerja. Berdebar-debar jantungku waktu sesi soal jawab dengan pegawai-pegawai temuduga yang telah ditugaskan. Alhamdulillah, aku berjaya akhirnya dan di terima mula bekerja pada hari itu juga. Walau hanya sekadar operator kilang. Tak kisahlah, janji pekerjaan itu halal…

(ii) Sedang aku ralat membeli makanan di kantin, aku dengan tak sengaja telah melanggar seseorang…habis bajunya tertumpah kuah laksa yang ku beli.. Ya Allah! malunya..



Mac 1998

2 hari bulan..

Bermula hidupku bekerja di tempat baru. Tempat yang begitu asing bagiku. Berbagai tanggapan buruk bermain di fikiran. Namun, aku kuatkan semangatku untuk terus bekerja disini. Aku dibawa ke semua tempat dalam minggu training. Macam-macam gelagat manusia aku jumpa. Paling kelakar seorang mamat tu, gila-gila sikit perwatakannya.. Kawan-kawannya memanggil dirinya Epol. Hmm.. boleh tahan orangnya. Loghat kata-katanya macam orang pantai timur. Tapi, aku buat tak faham aje. Malas nak layan. Lagipun aku tak berminat. Dah arif sangat dengan perangai lelaki yang hidung belang. Kak Hanizah Supervisor ku pula dah siap jeling-jeling kat aku.




Appril 1998

1 hari bulan…

Sebulan sudah aku berada disini. Ramai teman-teman telah ku perolehi.. Lin, Atie, Ila, Ikha, Aman, Rahim, Salleh dan Abang Lan. Mereka semua baik dengan ku. Namun, aku lebih akrab dengan Lin, Atie dan Ikha. Mungkin agaknya umur kami sebaya membuatkan kami serasi berempat. Namun, antara mereka.. Aku lebih rapat dengan Lin. Mungkin agaknya Lin lebih memahami tentang sikap dan perlakuanku.



Jun 1998

Aku mula terhidu akan tindak tanduk Abang Lan. Mengapa sekarang lain benar ku lihat perwatakannya. Aku seperti dapat meneka sesuatu yang tersembunyi padanya. Namun sukar untuk aku tafsirkan. Arghh.. malas aku hendak fikir yang bukan-bukan. Biarkanlah dia, asalkan dia bahagia. Dalam pada tu, aku tetap mengekori setiap pergerakkan dirinya.. Kenapa ekk??



Julai 1998

Hari ini adalah hari lahir ku yang ke 20. Senyap-senyap aku bawa pelbagai juadah makanan untuk menyambut party kecil di restroom. Ramai kawan-kawan yang hadir mengucapkan happy birthday kepada ku. Lin, Ikha dan Atie menghadiahkan aku sebuah teddy bear besar yang comel. Dan paling aku terkejut dan gembira yang amat sangat Abang Lan telah menghadiahkan sebiji kek coklat berbentuk hati kepada ku. Mereka semua bersorak mengusik aku. Merah muka ku, malu dan segan tak usah cerita, hanya Tuhan aje yang tahu. Kek tersebut ku potong dan ku agihkan sesama kawan-kawan disitu. Kek lagi satu yang ku bawa, juga ku potong. Dari jauh, aku perhatikan Abang Lan begitu berselera menjamu makanan yang sedia terhidang. Aku hanya tersenyum memerhati gelagatnya.



September 1998

Lin mengajak aku menyertai pertandingan bowling. Malas pula rasanya aku nak join. Lihat muka Lin yang keruh, kasihan pula rasanya. Aku pun turut sama mendaftar nama di admid officer. Sedang aku membongkok menulis nama dan no i/c, seseorang melanggar ku dari belakang.. sakit pinggang aku terhantuk bucu meja. Dalam hati aku sikit ler punya bengang.. mahu rasanya aku maki.
Aku pandang muka mamat yang melanggar ku dengan jelingan tajam. Serentak dia pun berpaling. Wajahnya panik. Aku turut terkejut. Macam pernah lihat!. Tapi siapa ekk?. Namun aku cuba kawal perasaan ku agar tidak nampak ketara. Dia mohon maaf dari ku. Katanya dia tidak sengaja melanggar ku. Aku sekadar mengangguk dan memaafkannya. Dia berlalu ke meja tulisnya.. mungkin, pada anggapanku. Aku dapat rasakan dia memerhatikan aku dari jauh. Selepas selesai aku dan Lin mendaftar nama, aku cepat-cepat menarik tangan Lin keluar. Bukan apa, sejuk semacam jer aku rasakan berlama-lama disitu. Entahlah, aku sebenarnya tidak begitu pasti akan perasaan aku ketika ini. Selintas kejadian tertumpah kuah laksa bertamu hadir…



Oktober 1998

Setiap petang hari minggu .. aku, Lin, Atie, Ikha, Abang Lan, Salleh, Aman dan kawan-kawan yang lain akan menjadi ahli tetap di pusat bowling untuk menjalani sesi latihan. Sunway Piramid, Summit, Mines Mall dan IOI Mall dan Alam Central menjadi tempat kami berhimpun. Abang Lan dan Salleh menjadi driver tak bergaji aku. Walau aku tidak pernah meminta, tetapi mereka sudi. Lebih-lebih lagi Abang Lan. Tapi, aku lebih senang dengan IOI Mall sebab jarak rumah ku dengan tempat itu dekat. Lagipun aku tak mahu mendera Abang Lan dan Salleh menghantar dan mengambil ku setiap kali latihan bowling. Dan selebihnya aku tak mahu di kata orang sekeliling dengan kata-kata yang kurang enak.



November 1998

(i) Pertandingan bowling berlangsung. Tempat yang dipilih pada tahun ini adalah di IOI Mall. Aku berasa sedikit gementar. Maklumlah fisrt time aku menyertai sebarang pertandingan, selepas tamat persekolahan. Kawan-kawan semua memberi semangat pada aku dan Lin. Permulaan permainan aku sedikit hampa. Tapi, aku tetap juga mahu teruskan pertandingan. Lin tak payah ceritalah. Dia sememangnya jaguh bowling tahun lepas. Pusingan ketiga persembahan ku semakin baik. Namun, lawan-lawan ku hebat-hebat belaka. Masuk pusingan keempat, aku terpandang bayangan sesusuk tubuh. Ku amati dia betul-betul tapi bayangan itu hilang.. kemana pulak mamat tu menghilang?
Uishh.. biar betul aku ni. Atie menegur keganjilan diwajahku. Aku cuma tersenyum dan bilang padanya tiada apa-apa. Penamat pertandingan, aku hanya mendapat tempat keenam. Lin dah semestinya tempat pertama.

(ii) Kawan-kawan semua sibuk bercerita tentang pakaian untuk dipakai ke dinner pada pertengahan Januari 1999 nanti. Lin siang-siang dah menolak. Puas ku pujuk namun dia tetap juga tak mahu. Aku sedikit hampa. Tapi, aku tidak berkecil hati dan aku menghormati pindiriannya. Mungkin dia ada sebab dan musababnya. Namun aku bernasib baik masih ada Atie dan Ikha. Kami rancak bercerita dan berbincang tentang pakaian untuk di pakai masa dinner nanti. Lin hanya tersenyum dan mendengar..

(iii) Selesai solat zuhur aku terpandang satu memo di papan kenyataan dekat restroom. “Pertandingan Mencipta Kad Dinner”.. Aku seakan berminat untuk menyertainya. Sudah lama aku tidak mencuba bakat melukis ku. Dalam diam-diam tanpa pengetahuan kawan-kawanku semua, aku menghasilkan sekeping kad dinner dengan daya kreatif ku sendiri dan ku hantar ke meja admin melalui Kak Yati kerani bahagian department ku.


Disember 1998

Aku mendapat cerita yang Abang Lan akan bertunang dengan gadis pilihan mak dan ayahnya di kampung. Itupun aku terdengar kakak-kakak senior bergossip. Bila aku ajukan pertanyaan itu kepada Abang Lan, dia seakan terkejut. Abang Lan berkeras menidakkan. Katanya jangan percaya dengan kabar angin. Tapi, nyata ku lihat air muka Abang Lan berubah.. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang Abang Lan sembunyikan. Malas nak ambil pusing, ku biarkan persoalan itu tergantung.



Januari 1999

Hari yang di tunggu-tunggu telah tiba. Dengan mengenakan pakaian ketubuhku sepasang kebaya hitam potongan fesyen lama dan bertudung putih krim, aku, Atie, Ikha, Ila dan Nur dan beberapa orang lagi, melangkah masuk ke dewan makan di Legend Hotel tempat berlangsungnya dinner. Aku perasan ramai mata-mata memandang ke arah kami. Dengan langkah yang sopan kami mencari meja yang dikhaskan. Kami memilih meja yang dekat dengan pentas dan agak tersorok sedikit oleh tumpuan umum. Aku perasan Abang Lan yang sudah sedia ada, kejap-kejap memandang ke arah ku. Mana taknya pakaian kami sedondon. Macam berjanji pula. Ikha siap menyiku lagi lenganku. Namun aku cuba berlagak selamba.
Banyak juga persembahan yang di persembahkan. Kami menyaksikan acara persembahan sambil menjamu selera dengan juadah yang telah disediakan. Sedang aku bergelak ketawa, tiba-tiba nama ku dilaung diatas pentas.. berderau jantungku saat itu.. Namun, macam biasa aku berlagak selamba.. semua mata memandang. Aku menang tempat pertama pertandingan melukis kad dinner.. macam tak percaya jer.. ramai kawan-kawan ku yang mengucapkan tahniah, tidak kurang juga yang mengatakan cemburu denganku dan tidak terkecuali juga ada yang marah dengan ku.. lebih-lebih lagi Atie.. marah betul dia dengan aku sebab tak memberitahunya tentang perkara itu padanya.
Dalam pada aku asyik memandang pertunjukkan yang dipersembahkan dan membelek hadiah yang diterima, seseorang menghulur sekuntum bunga mawar merah kepadaku sambil tersenyum. Kawan-kawan dah mula senyum-senyum padaku. Abang Lan pula siap menjeling lagi. Wajahnya kulihat keruh. Macam tadi aku tetap selamba.
Ku amati wajah pemberi bunga. Jantungku berdebar. Betulkah dia?. Memang betul dia.. aku tidak bermimpi. Dia memuji tentang penampilanku. Aku tersenyum malu. Jujurkah pujiannya itu?.
Dia mengambil tempat disebelahku yang kebetulan kosong ditinggalkan Ikha. Entah kemana Ikha pergi. Kami berbual rancak. Hmm.. barulah ku tahu rupanya lelaki yang ku langgar tempohari bernama Azwan. “Azwan si kuah laksa”.. tergelak dia bila aku menamakan dia sebegitu.
Kami rancak berbual sampai tidak sedar majlis sudah pun hampir selesai. Sebelum balik Azwan memberikan nombor telefon bimbitnya dan meminta nombor telefon rumah ku. Aku katakan padanya aku tak bisa memberi nombor telefon kepada orang yang baru ku kenali lebih-lebih lagi lelaki, kerana aku takut nanti dimarahi emak. Azwan sedikit kecewa, namun tetap memahami. Azwan berjanji akan menelefon aku esok pagi di tempat kerja. Kerana keseronokan berbual dengan Azwan, semua teman-teman luput dalam fikiran termasuklah Abang Lan. Marahkah mereka dengan ku?



Februari 1999

(i) Hampir sebulan aku mengenali Azwan. Walau satu tempat kerja, namun kami jarang bertemu dan keluar bersama, kerana jadual kerja Azwan dan aku berbeza. Bila aku kerja shift pagi dia masuk shift malam, bila aku masuk shift petang, dia shift pagi. Tapi, dia rajin curi-curi menjenguk ku bila tiba dia waktu rehat. Kawan-kawan ku mula mengusik ku. Mereka semua merestui hubunganku dengan Azwan termasuk Lin dan Atie. Cuma Ikha saja seakan tak merestui hubungan kami. Walau dia tak menyatakan padaku. Namun, aku seakan dapat membaca riak wajahnya.

(ii) Sudah dua hari aku tidak melihat bayangan Abang Lan. Kata Lin, Abang Lan balik kampung. Aku sedikit pelik. Baru bulan lepas Abang Lan pulang ke kampung. Sejak dari malam dinner perubahan jelas ketara pada tingkah laku Abang Lan. Aku ajukan persoalan itu pada Lin dan Atie. Mereka juga tidak tahu puncanya. Aku tertanya sendiri.. Bingung pula kepala aku memikirkannya.


Jun 1999

(i) Bermulah tarikh keramat perhubungan ku dengan lelaki yang sering menganggu lenaku. Kali pertama pintu hatiku di ketuk untuk menerima insan bergelar lelaki bertamu dihati. Rupanya Azwan sudah lama menyimpan perasaan dalam diam, juga seperti ku hanya memerhati dan merindu dari jauh sejak aku mula berkerja disini. Dia meluahkan isi hatinya untuk menjadikan aku teman istimewa. Alangkah gembiranya aku ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu. Maknanya aku tidak bertepuk sebelah tangan. Huluran kasihnya ku sambut dengan hati yang ikhlas itupun setelah menimbang kejujuran dan keihklasan hatinya. Benarkah?

(ii) Hubungan ku dengan Abang Lan semakin renggang. Aku tak tahu puncanya sebab apa Abang Lan menjauhkan diri dari ku.. Bila ku tegur acuh tak acuh saja sikapnya pada ku. Kadang-kadang dia memarahi diriku tanpa usul periksa. Dia seperti seakan membenci diriku. Itu dapat kurasakan dari cara layanan dia kepada ku. Aku mula bosan. Akhirnya aku berdiam diri.. Mungkin itu adalah yang terbaik!

(iii) Azwan mahu berjumpa dengan mak dan abah ku untuk mengikat tali pertunangan. Katanya dia takut aku akan terlepas ke tangan orang lain. Namun aku meminta dia bersabar kerana aku belum lagi berterus terang dengan mereka tentang hubungan ini. Selebihnya aku risau, takut abah dan mak tidak merestui. Dalam pada itu aku masih ragu-ragu akan perasaan ku ini terhadapnya. Adakah benar aku menyintainya?.

(iv) Tawaran masuk maktab pengajian telah ku terima. Berat hati ku nak menyambung semula pelajaran ku. Sayang hendak tinggalkan kawan-kawan dan selebihnya sayang hendak meninggalkan dia.. Abah dan Kak Long berkeras mahu aku menyambung semula pelajaran. Malam tadi panas telingaku mendengar leteran abah. Tapi, aku tahu itu semua untuk kebaikan diriku.. mahu tak mahu aku tetap terpaksa mengikut. Lagipun aku tidak mahu di cop sebagai anak derhaka!.


Julai 1999

(i) Genap umur ku 21 tahun. Birthday ku kali ini hanya disambut ala kadar dengan sebiji kek hadiah Lin, Atie dan kawan-kawan. Sebenarnya aku sendiri tidak ingat akan hari jadi ku. Mungkin agaknya berbagai masalah terlalu membeban di fikiranku, menyebabkan hari lahir sendiri pun terlupa. Tiba-tiba baru ku perasan ketiadaan Ikha. Dimana Ikha?. Semenjak-semenjak ini jarang benar kulihat bayangnya. Merajukkah dia denganku?. Tapi, apakah kesalahanku padanya?. Hairan aku memikirkannya.
Azwan terserempak dengan ku di restroom. Dia meminta aku keluar dengannya esok hari. Aku bersetuju kerana aku juga hendak memberitahu dia tentang tawaran yang telah ku terima itu. Apakah agaknya nanti reaksi dia?. Tiba-tiba aku terasa suatu keganjilan. Tidak ingatkah dia hari ini hari apa? Aku cuba memujuk hati jangan terlalu berperang sangka buruk padanya.

(ii) Azwan sedikit kecewa bila aku memberitahu tentang tawaran maktab tu. Dia berat hendak melepaskan aku pergi. Dia takut aku nanti akan mudah berubah hati bila sudah menjejak kaki disana. Aku cuba tegaskan padanya yang aku akan sentiasa menghubunginya dan berjanji tidak akan menduakannya. Kecuali kalau dia yang menduakan aku. Dia ulang kembali kata-katanya untuk mengikat tali pertunangan. Tapi, aku cuba memujuknya dan memintanya bersabar hingga aku tamat pengajian. Akhirnya dia bersetuju. Namun aku sedikit terasa, dia tak ingat langsung akan hari lahirku.. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Ku lihat wajahnya tiba-tiba berubah dan gelisah. Dia bergegas pulang tanpa mengucap selamat tinggal ke padaku seperti selalu. Makin membuatkan aku terasa..

(iii) Sayu dan pilu hendak meninggalkan kawan-kawan semua. Banyak juga hadiah yang ku terima dari mereka. Lin menghulurkan satu bungkusan kecil kepadaku. Katanya hadiah daripada Abang Lan. Aku tercari-cari Abang Lan untuk memohon maaf darinya. Namun wajahnya tidak kelihatan. Masih marahkah dia lagi padaku?. Sampai dirumah hadiah pemberian Abang Lan lantas ku buka. Kesemuanya alatan untuk menulis dan sebuah diari berwarna hitam.
Halaman pertama diari ku selak, tertulis kata-kata tulisan tangannya.
“ Alia, hargailah setiap detik pertemuan, kerana disitu banyak terselit ribuan kenangan indah.. Usah tangisi pada perpisahan tetapi kenangkanlah setiap detik pertemuan.. moga berjumpa kembali, mengembalikan saat-saat indah itu.. study smart & don’t forget Allah.”
Kata-kata itu benar-benar menyentuh hatiku. Hadiahnya ku dakap erat. Air mataku mula mengalir ke pipi. Kerinduan padanya menggamit hadir.



Ogos 1999

(i) Sejak menjadi student ni, jadual harian ku semakin sibuk. Berlambak assigment perlu aku siapkan. Ingatanku pada Azman semakin meluap-luap. Walau kami berjauhan, aku sering menghubunginya untuk bertanya kabar tentang dirinya. Seminggu sekali pasti aku akan menelefonnya untuk mengubat rindu. Bagaimanakah agaknya keadaannya sekarang?.
Selepas tamat kelas, aku cuba menghubungi telefon bimbitnya. Malangnya suara perempuan yang menjawab, dan mengatakan Azwan bersolat. Dadaku berdebar-debar. Siapakah dia?. Sah! Azwan telah menduakan ku. Tapi benarkah?. Mengapa perempuan itu memegang handphone Azwan?. Apa hubungan mereka berdua?. Sakit kepala ku memikirkannya.
Aku cuba mendail sekali lagi keesokkan harinya. Suara Azwan berada di talian. Hatiku sedikit tersinggung bila Azwan cepat-cepat mematikan talian kerana dia ada hal penting perlu di selesaikan dan menyuruh aku menghubunginya kemudian. Geramnya!.

(ii) Sudah dua minggu aku tidak menghubungi Azwan. Mungkin agaknya aku masih berjauh hati dengan sikap Azwan yang seperti acuh tak acuh melayani aku di talian atau cemburu telah menguasai diriku. Bila ku persoal tentang keraguan ku terhadap gadis itu, dia seakan melenting. Mengapa Azwan perlu merahsiakan hubungan dia dengan perempuan tu?.. sakitnya hatiku Tuhan saja yang tahu…

(iii) Cuti hari merdeka aku sambut bersama dengan kawan-kawan di Bandar Melaka. Hilang sedikit tensionku.. Dalam pada aku sedang asyik melihat barang-barang kraftangan di gerai yang terdapat di pinggir jalan aku terpandangkan kelibat seseorang yang begitu amat aku kenali. Azwan?.. Siapa pula perempuan itu?.. apakah hubungan mereka berdua?. Kalau hubungan adik dan abang, takkanlah perempuan itu memaut erat lengan Azwan lagak seperti sepasang kekasih. Aku cuba dekati mereka. Azwan terkejut melihat diriku. Sekilas cepat-cepat memandang gadis yang bersamanya tadi yang sudah berada didalam gerai. Hatiku makin bertambah sakit melihat perlakuannya. Tak tunggu lama aku beredar.. terlukanya hati aku saat itu .. selepas itu aku langsung tidak menghubungi Azwan.



November 1999

(i) Sedang aku leka menyiapkan assigmentku telefon di ruang tamu berdering kuat. Segera ganggangnya ku angkat. Terdengar suara lelaki di hujung talian. Terkejut sungguh aku bila orang itu memperkenalkan dirinya Abang Lan. Aku mula merasa pelik. Bagaimana Abang Lan tahu aku sedang bercuti waktu ini?. Setelah ku soal siasat, barulah ku tahu kerja Lin rupanya. Teringat semalam aku ada menghubungi Lin. Lama juga kami berbual. Entah kenapa tiba-tiba aku menjadi terlalu rindu dengan Abang Lan. Bagaimanakah agaknya rupa dirinya sekarang?

(ii) Sebelum berangkat ke JB, aku, Lin, Atie dan Ikha sempat keluar bersiar-siar. Gembira rasa hatiku dapat berkumpul bersama. Kami singgah makan di Restoran KFC. Lin belanja. Pelbagai topik kami sembangkan. Ku lihat Ikha lebih banyak mendiamkan diri bila aku bercerita tentang Azwan. Kecurangan Azwan dan kelukaan hatiku, ku simpan erat. Aku tak mahu kisah sedih itu menganggu kegembiraan kami.
Tiba-tiba aku rasa hendak ke tandas. Setelah menunaikan hajat ku, aku kembali ke meja. Terkejut aku, Abang Lan terconggok didepan ku. Berdebarnya aku ketika itu tuhan saja yang tahu. Sungguh berbeza Abang Lan ketika itu. Lebih kemas berbanding dulu. Sedang rancak kami berbual bersama, aku perasan cincin silver di jari kelingking Abang Lan. Selama aku kenal Abang Lan, tidak pernah dia memakai sebarang cincin dijari. Rasanya aku pernah melihat cincin itu. Tapi dimana ya?.
Sebelum menaiki bas, abang Lan menghadiahkan senaskah tafsir Al-Quran kepadaku yang dibelinya tadi sewaktu kami meronda di kedai menjual buku-buku dan majalah. Aku sedikit terkejut, sangka ku tadi dia hendak menghadiahkan kitab itu kepada bakal isterinya dan meminta aku yang memilihnya.. Aku teragak-agak mahu menerimanya. Melihat kesungguhan di wajah abang Lan mahu aku menerimanya, akhirnya bungkusan itu ku sambut. Ikha sudah mengukir senyuman mengusik. Nasib baik Lin dan Atie tiada kerana mereka terpaksa balik awal, kalau tidak makin malu aku dibuatnya. Ikha sempat berpesan kepadaku ‘Jaga diri dan buatlah keputusan yang terbaik..’ aku sedikit pelik dengan kata-katanya itu. Pelbagai persoalan bermain difikiranku…




Disember 1999

(i) Krusus BTN banyak mengajar aku tentang kematangan berfikir dan memimpin. Fasilitatornya adalah terbaik yang pernah aku temui. Banyak juga ilmu yang aku pelajari dalam kursus ini. Kami diletakkan dalam setiap kumpulan. Kumpulan aku di gelar TEGUH. Kami ibarat satu keluarga. Entah kenapa aku rasakan berlainan sungguh cara layanan yang diberikan kepada ku oleh salah seorang peserta dalam kumpulan ku. Namanya seakan sama dengan Azwan. Ah, lelaki itu… kenapa kemana saja aku pergi pasti aku akan dibayangi oleh wajah dan namanya?. Namun aku buat tak layan kelakuan lelaki itu. Walau dia tak suarakan, tapi aku tahu.. Entahlah.. hati aku seakan tertutup buat insan bergelar lelaki setelah kecurangan Azwan. Atau aku masih lagi menanti Azwan. Entah, aku sendiri tak tahu akan perasaan ku ketika ini. Segalanya bercampur baur.

(ii) Berbelas surat telah kuterima dari Ezwan. Perasaan ku biasa saja membaca setiap bait kata dan madah cinta darinya. Perkara ini ku suarakan pada teman rapat ku Rohani. Aku mahu mendengar pendapat dan nasihat darinya. Mahani meminta aku berfikir masak-masak mengenai perkara itu… Maafkan saya Ezwan, antara kita biar kekal menjadi kawan.

(iii) Nurul memberitahu aku tentang perangai Ezwan yang sebenar di kampus. Segalanya negatif. Sebelum ini pun memang aku dah dengar dari mulut orang. Hmm, malas aku nak ulas. Nurul suruh aku berhati-hati. Aku hanya mampu tersenyum.. Tiba-tiba terasa rindu pada Azwan.. Azwan lagi. Kenapa sukar benar hendak aku singkir nama itu dari kotak fikiran ku?.



Januari 2000

(i) Mira mengajak aku menemaninya ke Cyber Cafe untuk menyiapkan assigmentnya. Bosan duduk di dalam dorm, aku pun mengikutnya. Sambil menunggu Mira menyiapkan tugasannya, aku duduk di suatu sudut membaca novel ‘Tak Semanis Impian’ karya Sharifah Abu Salem yang ku bawa bersama. Sesekali ku jeling Mira yang sekejap-sekejap gelak dan bercakap sorang-sorang. Dah buang tebiat apa budak ni?. Segera Mira kuhampiri. Patutlah.. berchatting rupanya minah ni. Sabar ajelah.
Seronok pula melihat Mira berchatting aku pun teringin juga mengikut jejaknya. Mira mengajar aku bagaimana nak membuat email dan bagaimana hendak berinteraksi dengan rakan cyber. Satu nick tercipta untukku, ‘SweetHeart’.
Balik dari CC teringat mahu menelefon Lin untuk bertanya kabar. Kisah internet pun termasuk sekali dalam perbualan kami... Segalanya kuceritakan pada Lin tentang segala ajaran Mira tentang IT tadi kepada ku. Mira yang mendengar aku bersembang ditalian hanya tergelak besar disisiku. Lin pulangkan paku buah keras kepadaku. Mana tidaknya dulu akulah orang yang selalu, yang banyak menegur perbuatan Lin yang gemar melayari dan bersembang di internet. Sebelum mematikan talian, aku tidak lupa meninggalkan alamat emailku kepadanya. Supaya lebih senang nanti untuk kami berhubung.
Selepas hari itu aku telah mendapat ramai rakan baru dalam dunia cyber. Ianya bagaikan satu penyakit baru padaku. Sehari tak melayari internet, segalanya tidak menentu. Tapi aku lebih tertarik untuk lebih mengenali nick ‘Azlia’. Entah daripada mana dia mendapat email ku aku pun tak pasti. Mulanya kusangkakan dia ni perempuan.. tapi, rupanya lelaki.. Setelah lama berchatting dia memperkenalkan dirinya yang sebenar Azlan Shah .. hmm… macam pernah dengar?. Tapi ingatan ku tidak beberapa baik untuk mengingati. Namun begitu pelajaran tidak pernah ku abaikan, walau tiap petang aku sering melayari laman web. Masih kukuh terpahat didalam hati, kata-kata harapan dan impian keluarga mahu lihat aku berjaya.

(ii) Sedang aku sibuk menyiapkan assigment di dalam dorm, Jie datang dan menyerahkan surat berwarna kuning air kepadaku. Aku sedikit hairan. Selalunya hanya Ezwan yang rajin mengutus surat padaku walau kami selalu bertembung setiap hari. Setelah mengucapkan terima kasih, surat itu ku belek. Mungkinkah surat ini dari Azwan?. Dulu aku pernah menitipkan alamat asramaku kepadanya. Aku segera membukanya. Sangkaanku meleset. Nama Ikha tercatat di kepala surat. Aku mula membacanya… tiba-tiba jantungku seakan terhenti bila membaca ayat yang ditulis Ikha,
‘Lia, maafkan aku andai apa yang aku tulis ini melukakan perasaanmu. Tapi sebagai kawanmu aku tak mahu lihat kau terus dipermainkan oleh lelaki yang kau agung itu.. Pasti selama ini kau tertanya-tanya mengapa aku sering bersikap acuh tak acuh setiap kali kau bercerita tentang Azwan kepada aku dan kawan-kawan kita.. dan aku tahu kau mungkin terasa hati dengan layanan dan kata-kata aku semasa perjumpaan di KFC tempohari.
Untuk pengetahuanmu sebelum kau mengenali Azwan, aku terlebih dahulu mengenalinya. Azwan sudah bertunang Alia!. Dia adalah bakal suami kepada sepupuku. Diana.
Mereka akan melangsungkan perkahwinan dalam bulan Mac ini. Aku tak sanggup nak menceritakan kisah sebenar kepada kau sebab takut kau akan memusuhiku dan menganggap yang bukan-bukan pada diriku. Maafkan aku Lia. Sewaktu kau seronok bercerita tentang dia di KFC tempohari, hatiku semakin tak sedap.. sebelum ini berbagai cerita tak baik yang aku
dengar tentang kau dari mulut Diana. Aku kenal sangat dengan Diana. Dia akan buat apa saja untuk merebut kasih Azwan. Mulutku seakan mahu menceritakan kisah yang sebenar kepada kau. Tetapi ia rapat terkunci.. Setelah ku tahu segalanya darinya, kini kekuatan itu ada untuk aku berterus terang denganmu. Walau nanti ku tahu kau pasti akan memusuhi dan berdendam denganku. Maafkan aku Alia..’.
Airmataku laju mengalir. Lantas segera ku capai tudung dan bergegas turun untuk menghubungi Ikha. Jawapan yang sama Ikha berikan. Amarahku yang menggila ku lepaskan pada Ikha. Bengang dengan perbuatannya mendiamkan diri dan sakit hati dengan Azwan yang selama ini tidak pernah berlaku jujur denganku. Berkali-kali Ikha memohon kata-kata maaf. Kepada Ikha telah aku maafkan. Malahan aku berterima kasih lagi padanya. Balik dorm, aku menangis semahu-mahunya. Sampainya hatimu Azwan..

iii) Perbualan dengan Azwan di telefon sewaktu aku pulang bercuti hujung minggu menjadi penamat hubungan kami. Agak payah juga untuk aku menembusi taliannya. Kalau tak line busy, dianya tiada dirumah. Ada saja alasan yang kawan serumahnya berikan. Entah betul, entah tidak. Namun aku tetap tidak berputus asa, walau kadang hatiku terasa teramat sakit sekali. Aku tetap mahukan kata putus darinya. Aku tidak mahu lagi menanti buah yang tak gugur.
Dia akhirnya mengaku bahawa dirinya sudah bertunang, dan bakal menjadi suami orang tidak lama lagi. Itupun setelah ku desak berulangkali. Aku terlalu marah padanya kerana dia tidak mahu berterus-terang dengan ku selama ini. Susah sangatkah untuk berlaku jujur dengan ku?. Susah sangatkah menyatakan kebenaran?. Mengapa memberi harapan palsu, sedangkan belum pasti dengan keputusan yang diberi?. Bagaimanakah perasaannya sekiranya aku yang berbuat sebegitu padanya. Jaga hati? Itu bukan jaga hati, itu membunuh hati namanya!. Sekiranya ku tahu dari dulu kisah sebenar, pasti perasaan ku dapat di tepis walau tetap terguris. Ini bukan terguris, tapi dah terkoyak, terbelah dua. Kalau dapat dicantumkan semula pun, tetap berparut dan berbekas. Namun perasaan marah, geram dan rindu ku pendam dalam diam. Dalam pada hati ku retak, aku sudi memenuhi undangannya untuk lunch bersama. Dan itu merupakan pertemuan terakhir ku dengannya.. semoga kau berbahagia.



Februari 2003

i) Genap tiga tahun perkenalanku dengan ‘Azlia’ lelaki misteri di alam cyber. Selama mengenalinya, dia banyak membantuku untuk melupakan sejarah lepas. . Dia juga telah banyak memberi nasihat dan kata-kata semangat untuk aku terus maju ke hadapan. Aku juga sekarang sudah berkerja dan menjawat jawatan pegawai di salah sebuah syarikat swasta di ibu kota.
Dalam diam hatiku mula terpaut padanya. Namun aku tidak pernah luahkan apa yang terbuku ini. Ia tetap menjadi rahsia hatiku. Lagipun, aku belum pernah mengenali wajahnya dan perasaan ku masih ragu-ragu dengannya. Seingat aku, selama kami berkawan dia langsung tak pernah meminta foto ku, apatah lagi nombor telefonku. Kami hanya berhubungan melalui chatroom sahaja. Tetapi yang peliknya segalanya tentang diriku dia ketahui. Terlalu misterinya lelaki ini.. Siapakah agaknya dia?

ii) Satu mesej aku terima daripada ‘Azlia’. Kata-katanya berbunyi begini ..
“ my heart.. sudah terlalu lama kita berhubung. Tidak pernah terlintas ke untuk kita bertemu untuk mengenali lebih dekat lagi..”
Walau ayat itu ringkas, tapi bisa membuatkan jantungku berdegup kencang. Bagaimanakah rupanya nanti?. Bagaimanakah penerimaannya nanti tentang diriku?. Aku segera membalas mesej darinya. Bersungguhkah dia mahu menemui ku?. Dan kunyatakan keraguan ku kepadanya.
Jawapannya ringkas juga,
“Terpulang pada dirimu.. mahu tak mahu saya tetap terima. Walau saya terpaksa menanti dan terus menanti lagi...”
Aneh benar kata-katanya.. Siapakah dia yang sebenarnya?
Akhirnya, kami mengatur pertemuan. Aku perlu berdepan dengan realiti. Selama ini aku sering bermain dengan ilusi. Siapa tahu mungkin pertemuan ini nanti akan membuahkan kebahagian buatku. Dan moga ianya dapat merungkai tiap persoalan ku tentang dirinya yang penuh misteri.

iii) Hari yang ditunggu telah tiba. Sepuluh minit awal ku tunggu kedatangan ‘Azlia’. Ku perkemaskan diriku agar kelihatan menarik. Aku tak tahu kenapa aku mesti tampak menarik dihadapannya nanti. Tidak beberapa lama kemudian, ‘Azlia’ yang kutunggu tiba dengan mengukir sebuah senyuman paling manis. Terperanjat sungguh aku dibuatnya.
Abang Lan? Adakah aku bermimpi?. Jantung ku tiba-tiba berdebar. Apa yang Abang Lan buat disini?. Abang Lan menceritakan segalanya padaku. Ada sedikit geram, marah dan gembira mendengar cerita Abang Lan. Dalam diam aku tertipu rupanya.. Kenapa selama ini aku tidak pernah langsung menaruh syak padanya?.
Baru aku teringat, aku pernah memberikan emailku pada kawan-kawan lama ku dulu terutama pada Lin. Bukankah Lin begitu rapat dengan Abang Lan. Dan abang Lan juga mengakui selama kami berchatting, kadang-kadang Lin dan Ikha ada menemani bersama. Aku semakin malu dibuatnya. Agaknya habis sudah terbocor segala rahsiaku pernah meminati abang Lan dicanang Lin dan Ikha. Wajahku sudah merona merah. Dan, paling tidak kuduga abang Lan juga telah meluahkan segala rahsia hatinya yang selama ini kukuh tersimpan.
Dia lantas mengunjukkan jari kelingkingnya yang tersarung cincin yang tiga tahun lepas ku lihat sewaktu dia menghantarku pulang ke JB. Dia bertanya padaku masih ingatkah lagi tentang cincin ini?. Cincin yang dulu pernah kukatakan ukirannya cantik dan menawan, sewaktu kami bermain bowling di Sunway Pyramid, dimana aku sempat singgah di salah satu gerai yang terdapat di situ. Tapi, ianya tak dapat ku miliki kerana tak cukup wang untuk membelinya.
Di waktu itu, nak meminjam wang dari kawan-kawan terasa segan pula. Akhirnya ku biarkan ia di situ dengan perasaan hampa. Tak sangka pula aku, dia memerhatikan tingkah laku ku pada waktu itu.
Abang Lan kemudiannya melucutkan cincin itu dari jarinya. Dan menyarungkan cincin itu ke jari manis ku. Muat-muat jari manisku memakainya. Aku pandang wajahnya kurang mengerti. Dia hanya tersenyum selamba. Katanya cincin itu telah terlalu lama dia simpan untuk ku dan dia mahu aku pula yang memakainya sekarang.
Aku makin keliru. Katanya seminggu dari tarikh ini keluarganya akan datang bertandang kerumahku untuk masuk meminang. Segala persiapan telah pun dia persiapkan. Hanya menunggu kata putus dari ku. Dia sudah memberitahu hajatnya kepada keluargaku. Mereka juga menunggu keputusan dariku. Makin sesak nafasku. Biar betul abang Lan?. Bukankah dia sudah beristeri?. Aku suarakan persoalan yang selama ini bermain difikiran ku sejak sekian lama. Dengan selamba juga dia berkata dulu dan sekarang, hanya aku seorang didalam hatinya. Memang dulu ada ura-ura ibunya hendak menjodohkan dirinya dengan anak jiran sekampungnya, tapi setelah dia berterus-terang dan berkeras, ibunya memahami dan tidak mendesak. Ibunya sudah memberi restu pilihan hatinya. Dia juga amat kecewa kerana dulu aku memilih Azwan. Tetapi dia tetap tidak patah semangat dan tetap yakin dengan kuasa Tuhan. Suatu masa pasti dapat memilikiku. Sebak dan terharu aku mendengar pengakuannya itu. Sekiranya ku tahu dulu kisah sebenar, pasti hatinya tidak terluka sebegini hebat. Patutlah dahulu dia berubah sikap. Aku tersenyum sendiri. Kenapa aku tak pernah langsung terfikir tentang semua itu?. Maknanya aku tidak bertepuk sebelah tangan. ‘Azlia’ adalah gabungan singkatan namanya dengan ku, Azlan-Alia. Akhirnya janji terikat diantara kami dengan restu orang tua kami.



Februari 2004

Aku mendakap erat buah hatiku yang baru sebulan di lahirkan. Raut wajah si kecil saling tak tumpah mirip rupa abang Lan iaitu suamiku. Ini adalah hadiah teristimewaku buat suamiku sempena hari lahirnya. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana menganugerahkan aku lelaki, sahabat dan suami sebaik abang Lan. Bayi lelaki yang telah kami namakan Luqman Alif tertidur lena dalam pangkuanku. Aku bahagia dengan kehidupanku sekarang. Moga-moga hari-hari yang mendatang memberikan kebahagian abadi buatku.. I LOVE YOU SO MUCH ABANG!.




TAMAT


HAK CIPTA TERPELIHARA 2004
Azwa Safwa