"Renunglah sinar rembulan bila saat rindukan saya.. pasti wajah saya menjenguk hadir.. seindah sinar rembulan, seindah itulah cinta saya pada awak.. walaupun jauh untuk digapai, awak tetap indah dan menawan dalam hati saya.."

Thursday, July 03, 2008

WARKAHMU HADIAH TERHEBAT


Assalamualaikum

Selamat Hari lahir yang ke 30 aku ucapkan.

Bagaimana harus aku mulakan tinta ini? Sungguh… aku tak tahu untuk ungkapkan apa yang lebih dahulu ku utamakan untukmu. Mungkinkah ini hadiah paling istimewa yang kau terima? atau ada yang lebih baik dari ini? Ah... aku tidak perlu memikirkannya. Bukan itu yang harus ku tanyakan.

Bagaimana hari lahirmu setakat ini?
Bahagia?
Ceria?
Atau penuh dengan kejutan?

Bagaimana dengan catatan ini? sudah kau jangka atau diluar akal fikirmu?
pasti diluar jangkaanmukan? kerna aku tidak pernah langsung menunjukkan sebarang petanda yang kau bakal terima layangan ini. Bukankah aku kadangkala manusia yang sukar diduga? Tentu sukar bukan untuk memahami aku ini? Sungguh…. Aku jadi kagum dengan keteguhan sabarmu untuk terus mendampingiku, masih terus mahu setia temani aku walau dalam keadaan apa sekalipun atau siapapun aku. Kau… dalam sendirian buat aku menangis dalam egoku sebagai seorang pejuang. Kau… buat aku tertunduk malu menahan semua kesakitan yang aku alami. Walau… tanpa bicara dan kata-kata, kau tetap hulurkan azimat aksara untuk aku jadikan madu pada waktu paling sukarku. Aku harus mengaku jujur, kau sebahagian insan-insan terhebat yang membuatkan aku berani untuk bangun kembali. Bangun untuk berjuang dan memperjuangkan kehidupan dengan satu halatuju.

Dan satu sebab diantara seba-sebab lain mengapa aku kembali kesini adalah kau. Mungkin janggal alasan ini tapi harus ku ulang sekali lagi… kembalinya aku kemari adalah kerana kau dan beberapa orang lain yang tak perlu kusebutkan namanya.

Kau tahu bukan….
Aku mampu melakukan apa yang tidak terjangkau akalku sendiri.
Saat aku memmutuskan untuk pergi jauh dari sini, masih dari sudut hati ini diketuk-ketuk oleh suara-suara halus meminta aku memberi sedikit ruang kepada orang-orang yang menyayangiku untuk terus berada disamping. Bukan untuk menyibuk hal kehidupanku, bukan untuk memahami siapa aku, bukan untuk ambil tahu apa yang aku lakukan… tapi untuk selalu melihat keberadaan aku dalam apa jua bentuk. Nampak kelibat aku disini. Nampak yang aku masih bernafas. Nampak dengan pelbagai maksud yang sebenarnya cukup sukar aku terjemahkan. Namun, cukup aku mengerti.

Ahh…. Aku tahu kau senang memahaminya.
Aneh sekali terkadang kau lebih memahami aku berbanding aku sendiri. Pemikiran yang aneh difahami orang lain tidakkah janggal itu??

Usia 30 tahun ini aku tahu amat berat untuk kau lalui. Sedar atau tidak aku juga melaluinya disaat hari lahir ku sebelum ini. 30 tahun rasanya bagaikan lingkungan usia “dewasa” yang serba serbi nya berada dalam peralihan watak dan permikiran “orang tua”. Memikirkannya aku jadi takut untuk menghadapinya. Haruskah aku menjadi seorang pemikir yang setaraf dengan usia ini. Aku tahu, Kau juga mengalami dilemanya.

Sebenarnya, kau tak perlu berbuat apa-apa.
Tak perlu merubah karaktermu menjadi orang lain atau seperti apa yang orang lain mahu.
Tidak perlu! Jangan mengubah apa-apa.

Aku membaca sebuah kitab “La Tahzan” mengatakan sifat dan sikap seseorang itu adalah identity seseorang. Sifat dan sikap itu jugalah pengenalan tentang seseorang. Watak apa yang dibawa didunia ini sememangnya telah dicreate oleh Allah untuk pelbagaikan keseimbangan bentuk kehidupan alam sejagat. Ianya dicantikkan lagi dengan adunan emosi, akal dan nafsu menjadikan kita manusia bermacam-macam karenah. Persetankan manusia yang cuba mengadilimu seperti Tuhan. Mereka hanya insan yang belum tentu diterima pahala amalnya walau sejuta tahun ibadah sekalipun sedang terdetik seketika ini riaknya membandingkan tingkah, sikap dan peribadimu dengannya. Mungkin mereka lebih baik akhlaknya, tapi belum tentu baik naluri hatinya. Namun, maafilah mereka kerana mmeaafkan mereka menggambarkan siapa dirimu sebenarnya dimata mereka.

Jadi,
Kau tidak perlu menjadi seperti nenek kebayan yang harus menahan dirinya dengan tongkat sedangkan kau masih boleh berlari sepantas kilat berbanding manusia sesusia kita. Biarkan andai ada yang kata kau manusia lupa diri kerana tidak pernah serius dengan pemikiranmu. Maafkan mereka dan anggap saja yang mereka tidak cukup mengenalimu. Sesungguhnya Allah lebih dekat dengan hatimu, DAN DIA LEBIH TAHU…

Dan aku….
Tetap seperti yang kau kenali dulu.
Masih kekal dengan jiwa-jiwa remaja demi awet muda (hehehehe)
Masih menjadi remaja purba walaupun usia meningkat senja
Masih mahu hidup ceria walaupun versiku surirumahtangga
Masih menjadi orang yang lucu seperti kau kenali dulu
Paling penting, tetap cute dengan suara ala budak sekolah

Hahahaha…. Kau selalu tergamam bila menelefonku. Mengapa, aku sendiri tidak tahu keadaanmu begitu. Mungkin benar, kau akan terkedu saat membandingkan hasil tulisan ku seperti makcik 40an dengan suara “budak sekolah” 15 tahun. Seperti yang kau lihat didepan matamu, aku adunkan pemikiran makcik 40an itu dengan suara budak sekolah 15 tahun, dan kau temui satu jasad manusia biasa untuk kau nilaikan sendiri. Selamanya aku mahu kau terus selesa denganku, kerana aku masih manusia biasa yang terkadangkala tersasar dari bicara. Sekali lagi, aku MANUSIA BIASA!

Andai… aku lenggokkan bahasa-bahasa ini melarut dalam jiwaku, pasti akan ada jurai-jurai air mata menemani hari lahirmu. Sedang aku, tidak sekali mahu kau tangisi hari bahagia ini. Aku mahu kau tersenyum sepertimana saat aku menemuimu dulu. Dalam hujan menggila dibawah bumbung warung kita berbicara berdua tanpa gangguan sesiapa. Aku dan kau memisahkan dunia dengan semua orang tanpa pedulikan sesiapa. Sampaikan bual bicara kita sedikit sebanyak menarik perhatian orang lain untuk ambil tahu butir bualannya. Aku masih punyai kekaguman tersendiri terhadapmu. Sungguh jauh perjalananku hari itu, dan sibuk urusanmu masih kau bersetuju mahu bertemu denganku. Dalam hujan lebat yang menggila, kau masih setia menanti kelibat kemunculanku. Masih tetap sabar walau masa telah berganjak jauh dari yang ditetapkan. Andai dikenang kembali detik itu, aku sebetulnya serba salah melalui saat itu. Tapi hujan yang lebat benar-benar menguji kesetiaan untuk menemuimu. Aku sememangnya amat-amat merindui saat itu. Rindu untuk berkongsi tawa denganmu. Kau tahu bukan, aku ego untuk tunjuk airmataku. Aku tak mahu menjadi orang kalah dihadapanmu. Aku mahu kau bangga mengenaliku, bangga kerana bertemankan aku, bangga kerana aku sahabatmu walaupun mungkin hari esok, atau lusa… dan kemudian harinya aku terpaksa meninggalkanmu… atau kau juga terpaksa meninggalkan aku. Dan aku tahu… kau juga sepertiku, ego untuk mempertonjolkan padaku air matamu. Seandainya hujan lebat dan kilat sabung menyabung itu mampu membuatkan air mata kita menitis, aku pasti kau dan aku jadi malu untuk ketemu diwaktu seterusnya kerana kita tercipta bukan sebagai sahabat biasa, tetapi sahabat yang sangat luar biasa. Kita tercipta sebagai pejuang cinta yang sukar ditafsirkan atas dasar apa halatujunya.

Kau perjuangkan cinta untuk sebuah perkahwinan. Aku perjuangkan cinta untuk sebuah kehidupan. Kau harus mencari perkahwinan dahulu sebelum temui satu kehidupan. Dan kehidupan itulah gelombang besar yang harus kau lalui demi kesudahan yang baik. Apakah aku benar? Gadis seperti kamu harus memilik jodoh yang baik. Dan aku mengharapkan titik 30 ini jodohmu semakin mendekat. Akan tetapi, andai belum saat itu tiba… tolonglah, jangan sesekali kau berputus asa atau mengeluh takdir hidupmu. Aku benci kepada seorang yang menyerah kalah saat dia berjuang. Aku benci orang yang tak mahu memiliki harapan dan doa. Sungguh… aku membencinya kerana Allah juga benci hamba yang tak tahu mensyukuri takdirnya sendiri. Jadi, percaya dan optimislah, jodohmu akan segera datang bila tiba saat dan pada tepat masa ketikanya.

Seperti aku…
Aku tahu kau telah melihat dengan mata kepalamu harmoninya rumahtanggaku dalam lingkungan anak-anak dan suami yang dikasihi. Pasti aku juga harus berbangga miliki suami yang selalu memberi dorongan dan kefahaman mengizinkan aku berada dalam bidang penulisan ini, kerna kepercayaannya mendorong aku untuk kembali semula kesini. Kau tahu bukan, dia bukanlah sehandsome pelakon korea yang kita minati itu, bukan juga semacho lelaki idamanmu (hehehe), bukan juga sehebat amirul mukminin tapi dialah lelaki yang selalu berada disisiku saat aku merasa lelah dengan ujian Allah. Kata-katanya walau tak sehebat bahasa puitisku, namun bisa menguatkan semula jiwa ini. Kata-kata ini bukan mahu membuktikan betapa bahagianya hidupku, tapi mahu memberitahumu bahawa kehidupan yang aku perjuangkan adalah kerna adanya keluarga. Bahagia tidak datang dengan tiba-tiba sehingga kita terpaksa menunggu keajaiban berlaku tetapi keajaiban itu berlaku kerana adanya kita yang menciptanya. Sungguh… aku mahu kau menikmatinya.

Andai….
Ada seseorang hadir dihadapanmu, kemudian menyatakan rasa cintanya dan sanggup membahagiakan kau sepanjang hayat. Terimalah dia, kerana berada disamping seseorang yang mencintaimu adalah satu kehebatan yang membahagiakan berbanding dari mengharapkan cinta dari seseorang yang tidak mahu mencintaimu. Kau akan disirami siraman cinta dari seseorang yang mencintaimu dari kadar yang amat luar biasa. Percayalah, andai kau tanya kepadaku “Dimana cinta sejati yang aku impikan?”

Cinta… tetap ada di atas sana. Ia dalam bentuk aneh dan luar biasa. Ia dititiskan oleh Allah dalam nikmat yang tidak dirancang atau dicadang oleh kita. Sebaliknya hadir mengikut kesesuaian rancanganNya. Mencintai seseorang yang mencintai kita bukanlah jaminan cinta itu sejati hingga ke mati.

Disaat kau dinikahi seseorang, percayalah hari itu kau telah berjanji dalam diri mahu sehidup semati dengannya, kau berjanji akan menjadikan dia kekasih awal dan akhirmu, kau berjanji akan menjadi ibu untuk pewarisnya. Sungguh, itu jugalah yang diimpikan dan diharapkan oleh suamimu juga. Akan tetapi kehidupan perkahwinan adalah era gelombang kehidupan yang sangat hebat. Laluan badainya bukan setakat arus sungai yang tenang. Bukan seperti cerita dalam koleksi novel cinta remaja yang berkesudahannya penuh bahagia. Tidak….

Orang yang kau nikahi itu, mungkin suatu waktu nanti menemui cinta baru. Sama ada kau masih disisinya dalam institusi poligami atau kau langsung tak punya suami. Atau juga, saat kau sedang berbahagia dengan keluarga, Satu cinta baru hadir untukmu. Disana mempertaruhkan keputusan untuk buat pilihan percintaan mana lebih bermakna untukmu yang harus kau tuju.
Penceritaan di atas telah banyak berlaku diluar sana… dan aku mahu kau sedar dan membuka mata, keadaan itu boleh berlaku kepada sesiapa saja yang dikehendaki olehNya. Tiada pengecualian dari ujian!

Cinta yang hebat bukan datang dengan keajaiban tetapi dengan daya cipta kita untuk memilikinya, menguasai dan mempertahankannya. Kita memiliki cinta. Tapi kita tidak berhak dan punya hak untuk memiliki sesiapa dari terus mencintai kita atau menolak dari sesiapa terus mencintai kita. Adakah kau fahami kata-kata ku ini?

Saat cinta itu datang… terimalah seadanya. Kerana ia telah tercipta untukmu. Andai kau kecewa kerana tak miliki seperti apa yang kau ingini… Terimalah dengan redha. Percayalah, dunia ini hanya sementara. Tempat untuk permainan takdir demi ujian penapisan insan-insan pilihan. Andai kebahagiaan tidak dimiliki disini, disana nanti kau ditemui dengan cinta paling abadi dan sejati. Kau dikelilingi bidadari syurga yang mencintaimu tanpa berpaling kepada yang lain. Kau mampu menguasai mereka semahumu. Cinta yang membuatkan kau nampak hebat dimata mereka. Tanpa ada perdebatan, perbandingan atau pengeluhan atau perebutan. Tidak ada langsung! Indah bukan?

Maka….
Percayalah cakap ku ini sahabat…
Saat cinta itu berketuk dipintu hati, terimalah ia. Kerana saat kau terima lamarannya 50% bahagian syurga untukmu sedang ada dalam genggaman. Sama ada kelak, kau bahagia atau tidak… percayalah perjalanan takdirmu berada dalam rancangan yang terbaik disisi Allah. Dia menyusun takdirmu dengan indah sekali didepan sana. Cuma… kau harus melangkahinya saja dengan sabar dan redha untuk mendapat kunci kesudahan itu.

Air sungai itu mengalir ke depan
Detik masa juga bergerak ke depan
Hembusan angin juga beralun kedepan
Begitu juga usia kita
Begitu juga masalah dan kerumitan perasaan kita
Maka perjalanannya juga harus berada ke depan
Harus ditempuhi, bukan melarikan diri dalam persembunyian
Hadapilah dengan tenang dan optimis
Percaya… jalan keluar ada diluar sana
Ia sangat pasti untuk kau hampiri

Aku mahu kau menjadi serikandi cinta paling hebat disisi Tuhan. Ianya bukan mustahil kerna telah terbukti dizaman nabi dulu. Percaya diri akan kemampuan naluri. Allah tidak memilih siapa layak, siapa tidak berhak menikmati hidayahNya. Jangan kau rendah diri jika amal dan imanmu sekadar kuat besi berani jika dibanding manusia lain yang boleh dihitung seluas lautan dan langit. Iman itu terletak dihati dengan rasa rendah diri. Saat kau tundukkan hatimu menangisi kesalahanmu yang lalu, cintaNya terbuka seluas arasy untukmu. CintaNya tak akan membezakan kau pernah berdosa atau berpahala. CintaNya akan membuka seluas-luas kasih sayangNya saat kau mengakui syahadahNya. CintaNya mejadi dinamik untuk kau melangkah ke satu ruang taubah. Dan detik itulah…. Senario itulah… membuatkan kau lazat untuk mencari CintaNya.

Aku mahu kau menikmati hidayah dan kasih sayangNya dengan sendirinya. Aku pasti saat itu akan tiba… aku sentiasa mendoakannya untuk kau, untuk dia, untuk mereka dan untuk kita semua. Bersabarlah, redha dan rendah diri padanya meng-akui kesilapan lampaumu. Menangislah, mengadulah segala beban takdir yang tak tertanggung olehmu. Moga Dia selalu belas ehsan untuk menerima doamu. Sesungguhnya aku masih seperti dulu walaupun perubahan ketara telah berlaku atasku. Perubahan itu bukan dinding memisahkan hijab kau dan aku untuk terus bersahabat. Sama ada kau sahabat yang menjual minyak wangi atau kayu api hingga mampu memercikkan aku wangian atau mempalitkan arangnya, tidak memberi apa-apa kesan kepadaku. Andai aku wangian itu, aku berharap wangiku akan menemani perjalanan hidupmu menjadi lebih baik dari sebelumnya. Andai aku arang itu, aku berharap wangianmu akan mengubah noda-noda hitam yang terpalit dalam hatiku menjadi debu-debu putih berterbangan naik ke langit. Kita harus optimis dalam persahabatanku.

Aku dalam pencarian “Cintaku”

Kau bayangkan cintamu kepada seseorang. Sungguh, hari-hari kau terfikirkannya. Hari-hari kau berbicara madah-madah cinta dengannya. Hari-hari kau terbayang akan dirinya. Dan hati melonjak-lonjak ingin berjumpa dengannya. Dan saat bertemu dengannya pada pertemuan pertama, tubuhmu bergetaran dengan aneh sekali. Peluh-peluh dingin keluar bagaikan mencurah-curah. Saat kau merinduinya, tak perlu disuruh untuk kau sebut namanya. Saat kau teringatkannya, tak perlu dicadangkan untuk kau memikirkannya. Semuanya dengan rela hati dan berjalan dengan sendiri. Itulah cinta…. Dan cinta itulah bentuk bayangan kecintaan terhadap Allah. Sangat rugi andai ada manusia yang tidak pernah tahu bagaimana bentuknya cinta.

Kita masih belum mabuk cinta padaNya. Ramai manusia belum benar-benar mabuk cinta padaNya. Belum! Buktinya mereka tidak gila bayang dengan derita yang sarat menanggung sengsara rindu yang melonjak-lonjak untuk menemuiNya. Buktinya mereka belum jatuh pengsan terus mati sekelip mata saat menyebut namaNya. Ahhhh… itu resam pecinta. Itulah gambaran perasaan cinta sebenarnya.


Pernahkah kau mendengar kisah seorang hamba Allah dizaman nabi Isa yang mahu ditakdir merasai nikmat cinta Allah. Atas nasihat nabi Isa, akhirnya lelaki itu bersetuju andai dapat sebesar biji sawi dapat dirasakan cinta itu untuk dinikmatinya. Tahukah kau apa yang terjadi pada pemuda itu sesudah seminggu nabi Allah Isa mengunjunginya? Dia telah menjadi gila. Berlari kesana kesini dengan menyebut nama Tuhannya. Satu dunia yang terpisah dari dunia nyata. Menakutkan bukan? Bagi kita yang waras mungkin menakutkan, tapi bagi dunianya yang sudah terpisah lazatnya cinta itu sangat indah.

Aku terpanggil untuk menceritakan kepadamu tentang cinta Nabi Daud yang mahu melihat “wajah” Allah, kelebihannya berkomunikasi denganNya membolehkan dia membuat permintaan yang tidak pernah diminta oleh sesiapa. Allah perkenankan permintaannya. Akan tetapi dia harus mengenali bala tentera sebelum melihat “parasNya”. Allah menampilkan malaikat-malaikat dari langit pertama hingga yang berada diarasyNya sehinggakan kemunculan mereka menghasilkan bunyi dan keadaan yang menggerunkan dihati nabi Daud. Aku teringat bicara malaikat kepada nabi Daud. Katanya, “Wahai Daud, kami tidak pernah sekalipun mengangkat wajah kami untuk melihat Allah kerana takut dan taatnya kami kepadaNya. Sedangkan engkau manusia sanggup meminta melihatNya.” Lebih kuranglah ayatnya. Aku pun bukan ingat sangat ayat penuhnya. Kau boleh check kat memana info tentang sejarah ni. Paling hebat bagi aku bila Allah mahu munculkan dirinya seluruh gunung dan batu meruntuhkan dirinya tanda takut. Maka pengsanlah nabi Daud melihat kejadian itu. Sejak itu dia membuat pengakuan sebagai orang pertama yang beriman sebenar-benarnya kepada Allah. Seluruh hidupnya penuh dengan penyesalan kerana permintaan itu. Tapi… hikmah dari kesilapannya aku kira dia semakin dalam mencintai Allah. Andai dia tidak membuat permintaan begitu pasti keinginannya masih belegar-legar dalam hati untuk tahu “siapakah” yang diCintainya. Sungguh… aku benar-benar kagum dengan keinginan nabi Daud serta ganjaran nikmat cinta yang dia dapat selepas kesilapannya itu. Bukankah manisnya taubat yang dimiliki sesudah itu? Walau sakit dan perit tapi manis kesudahannya bila taubah nya diterima Allah. Aku jadi malu kerna kesungguhan nabi Daud mempamirkan cintanya. Andai aku bersungguh begitu, pasti aku rela berada di dunia “gila” yang penuh mabuk cinta itu.

Allah berfirman kepada Nabi Daud, "Hamba yang paling aku Cintai ialah mereka yang mencari Aku bukan kerana takut hukumKu atau hendakkan KurniaanKu, tetapi adalah semata-mata kerana Aku ini Tuhan."

Maka, Kerna ayat inilah aku rasa aku mahu terus mencari cintaNya. Kerana ayat ini juga aku terus menjadi pengkagumNya dalam versi dan fahaman serta cara aku sendiri. Aku tak mahu melakukan ibadah kerana fadilat dan ganjarannya. Aku tak mahu ibadah kerana balasannya syurga. Tapi aku memahami islamku, imanku, taubatku, tawakalku, penggantunganku, serta perjalanan takdirku dalam hidup matiku, kesudahan baik dan kesudahan buruk kelak atas kehendakNya menempatkan aku dimana Dia kehendaki. Andai amalku kelak dikira sebagai riak sedangkan bersungguh-sungguh aku tunduk sujud padaNya, kesudahannya adalah neraka, Maka nilai yang paling mahal bagiku adalah redhaNya. Andai Dia redha pasti aku redha… kerana aku hanyalah hambaNya dan dialah Yang Esa.

Fahamilah doa Rabbiatul Adawiyah dan kau akan lihat cinta seorang abdi pada Rabbi

Wahai Tuhanku, Sesudah aku mati masukanlah daku ke neraka
Dan jadikan jasadku memenuhi seluruh ruang neraka
Sehingga tak ada sesiapa dapat dimasukkan kesana,
Wahai Tuhanku, Bilamana daku menyembahMu karena takut akan neraka
Jadikan neraka sebagai kediamanku
Dan bilamana daku menyembahMu karena ghairah akan nikmat syurga
Maka tutupkanlah pintu syurga selamanya bagiku
Tetapi apabila daku menyembahMu demi Dikau semata-mata
Maka jangan Kau larang aku menatap keindahanMu yang Abadi selama-lamanya


Warkah panjang ini aku peruntukkan masa dipenghujung hari lahirmu. Tidakku kirimkan di ruang emailmu, sebaliknya terhias diruang blogku. Dan aku mahu kau cari hadiahmu disitu. Biarpun mungkin kau tidak muncul didepan mataku, gerak hati ini pasti kau akan menelitinya nanti. Mungkin dari emailmu (kerna posting MP di’link’kan ke email peribadi) atau mungkin telah kau bookmark sebagai favourate untuk dibaca tanpa login. Yang pasti, kau akan membacanya nanti…. Kalau tidak hari ini, mungkin suatu hari nanti. Suatu hari saat aku tiada lagi disini. Mungkin?!

Sesungguhnya ini hadiah kepunyaanmu, maka sama ada kau mahu print dan tampal dicermin bilikmu (uhuhu) atau simpan dalam blog mu yang satu lagi, terserah! Cuma ini milik kamu…. Hadiah ulang tahun kelahiranmu. Dan tersenyumlah, kerana senyumanmu adalah hadiah paling istimewa untuk aku lihat dari seorang insan yang aku kenali. Jangan pernah sesali perjalanan takdirmu. Dari Dia semua ini datang, dari DIA semuanya pasti kembali. Andai kata, suatu saat nanti aku harus undur diri dari dunia penulisan ini.. aku mohon kau mengerti. Fahamilah hakikat kejadian kita ini, yang hidup pasti mati… yang bertemu pasti berpisah… yang memiliki pasti sendiri, yang bahagia pasti sepi…. Kerana kita bukan kepunyaan sesiapa. Kita hanyalah watak yang berperanan sementara didunia. Harus pergi ke satu destinasi yang lebih pasti.

Maafkan kata-kataku sama ada yang kau mengerti atau tidak langsung fahami. Terimalah utusan ilham yang Allah datangkan padaku hingga terbaitnya kalimah-kalimah ini. Aku mengharapkan yang baik itu hanyalah hidayah dariNya. Dan selebihnya yang kurang enak pastinya datang dari khilaf dan kelalaianku menyusun kata sehingga ada yang salah dimengertikan dari sudut yang cuba aku sampaikan.

Kau… aku dan sesiapa juga punya pandangan yang berbeza untuk menilai apa yang dibaca. Buatlah perkiraan sendiri tapi tak perlu mengadili apa-apa yang terselindung dibalik kalimah ini. Aku bukan sesiapa terhadap sesiapa. Dan Biarlah…. Dia Lebih tahu apa yang terkandung dalam setiap naluri insan disini. Percaya atau tidak, aku sentiasa bersedia menghadapi hari-hari tanpa sesiapa kerana kita hanya dibumi sementara. Pasti akan jumpa disana dalam hitung yang sama, tempat yang sama dan pengadilan sama. Bezanya… nilai iman adan amal. Iman itu dihati maka jagalah hati dari hasad dan dengki.

Aku tak pasti penulisan ini mengundang rasa apa dihatimu. Andai ia mengundang sebak, maafi aku… maafi aku kerna tak membendung ayatku hingga benteng air matamu melimpah jua. Maafi aku kerana sering melukakan hatimu tanpa sedarku. Maafi aku kerna tak mampu menjadi sahabat yang baik saat kau memerlukan. Maafi aku kerana tidak pernah berkomunikasi denganmu untuk lebih memahami kondisimu. Maafi aku kerana tidak pernah mahu tanya khabarmu. Maafi aku kerna membiarkan kau perjuangkan hidupmu sendirian… maafi aku kerana aku tak mampu menjadi hebat dimatamu. Maafi aku segalanya…

Biarlah, semuanya kerana aku selalu menemani dirimu dengan ingatanku… dengan doaku. Aku sentiasa memikirkanmu walaupun jauh. Kesilapan akan mengajar akan dirimu tentang perubahan. Kerana disitu nilai keinsafan dicari. Setiap satu perkara selalu ada pilihan dan persimpangan. Yang mana satu pilihan yang kau mahu, itu sememangnya telah tercipta untukmu di Loh Mahfuz. Berjuanglah untuk kebahagiaan “cinta” yang kau idamkan. Jangan takut akan kegagalan dan kesudahan yang salah kerana nikmatnya akan kau rasa seperti contoh-contoh yang aku berikan di atas tadi. Kegagalan bukan kesalahan hidup tapi kemajuan yang dicapai dalam perubahan setelah rebah.

Ingatlah….
Kau adalah si pengendali hidupmu. Apa jua situasinya, kau yang akan hadapi dan lalui. Hanya kau saja yang mampu tentukan mana halatujumu. Saat getir ujian, carilah DIA. Saat bahagia dengan senyuman, carilah DIA. Kerna Dialah “kekasih” yang selalu ada untuk kita disaat orang lain sibuk… sibuk… dan terlalu sibuk! (uhuhuhu…. Aku memang allergic dengan alasan orang sibuk ni. Macamlah aku tak sibuk. Kekekeke… kau jangan terasa pulak yer)

Well… inilah aku. Sebenar-benar aku yang kau kenali itu.
Lagu di atas lagu paling favourate aku, khas untukmu.
Sesungguhnya sahabat, hadirmu membuat aku merasa dihargai.
Dan aku selalu menghargai dirimu dalam versiku sendiri….

Selamat hari lahir, sahabat
Allah sentiasa berada disisi kamu. Yakinilah!

Ya Allah, Jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong didalam golongan orang-orang yang bahagia, maka tetapkanlah aku didalam keadaan aku sekarang. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku didalam golongan orang-orang yang rugi dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan - Doa Saidina Umar

Wassalam
Manusia Biasa, Serikandicinta
2 JULAI 2008
10:13pm


Seperti biasa.. warkah darimu pasti mengundang sendu dan deraian airmata diwajahku.. ah, kamu memang bisa meruntun kalbu ku.. terima kasih atas hadiah termahal ini.. sebenarnya kelu jemariku mahu berbicara melarikan tarian kata tika ini.. kerana dihati terlalu sebak rasanya.. kata-kata kamu amat bermakna buat aku. InsyaAllah pastinya akan ku semat sentiasa hingga titis nyawa yang terakhir.. Moga dipenghujung usia aku nanti, segala impian kan tergapai..

Seperti biasa juga.. warkahmu ku print. Agar nanti aku bisa menatap lebih dekat dalam genggamanku.. dan, ku sisipkan juga ia disini.. agar nanti andai tiba aku hilang tanpa jejak, ada tanda untuk dikenang oleh sesiapa.. dan dapat menilai tentang kita.. Terima kasih sekali lagi atas hadiah termahal ini..

Oh ya.. aku hampir terlupa.. buat Brother Love.. thankss atas pemberianmu juga.. ya, aku dan lagu tak boleh dipisahkan.. ianya bagaikan lakaran cerpen kehidupanku.. sesungguhnya aku bertuah punya kamu semua sebagai teman dan sahabatku.. sayang kamu semua !